BANDAR PANAMA: Ketua Pihak Berkuasa Terusan Panama, Ricaurte Vasquez Morales menolak dakwaan presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa China mengawal terusan itu dan menaikkan tarif ke atas kapal AS.
Menurut beliau, dakwaan bahawa China sebagai pihak yang menguruskan terusan berkenaan adalah sama sekali tidak berasas.
“China tidak mempunyai sebarang penglibatan dalam operasi kami. Peraturan adalah peraturan, dan tidak ada pengecualian.
“Kita tidak boleh mendiskriminasi orang Cina, Amerika atau sesiapa sahaja. Ini akan melanggar perjanjian berkecuali dan undang-undang antarabangsa, dan ia akan membawa kepada huru-hara,” katanya pada Rabu.
Sementara itu, Presiden Panama, Jose Raul Mulino menolak cadangan untuk menurunkan tarif terhadap kapal AS dan menegaskan bahawa China tidak mempunyai kawalan ke atas laluan penting yang menghubungkan lautan Atlantik dan Pasifik itu.
“Terusan itu adalah milik Panama dan kepunyaan orang Panama. Tidak ada kemungkinan untuk membuka apa-apa jenis perbualan mengenai realiti ini, yang telah mengakibatkan darah, peluh dan air mata negara terkorban,” katanya. – Agensi / HARAKAHDAILY 10/1/2025








