Tidak benar berlaku lambakan, pelancong China tidak lalui pemeriksaan imigresen

Tidak benar berlaku lambakan, pelancong China tidak lalui pemeriksaan imigresen

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan tular di media sosial berhubung kemasukan besar-besaran pelancong warga China ke Malaysia dan warga negara itu yang tidak melalui prosedur pemeriksaan imigresen, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya

menegaskan kedua-dua dakwaan itu adalah tidak berasas dan boleh menjejaskan imej serta kredibiliti jabatan.

Menurutnya, peningkatan kemasukan warga China ke negara ini adalah impak positif hasil daripada dasar kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama melalui pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLV).

“Untuk rekod, kadar kemasukan warga China selepas pelaksanaan PLV mengalami peningkatan iaitu seramai 3.9 juta pada tahun 2024, berbanding 1.6 juta pada 2023 iaitu peningkatan hampir 140 peratus.

“Selain itu, bagi memantapkan pengurusan kemasukan warga asing dan mengurangkan waktu menunggu, Kementerian Dalam Negeri membenarkan warga asing dari 63 negara menggunakan kemudahan autogate di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 termasuk warga China,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif itu tidak menjejaskan aspek keselamatan kerana data pasport dan maklumat kemasukan akan melalui padanan data biometrik serta pengesahan wajah yang disimpan dalam cip pasport.

“Pelawat yang menggunakan autogate mesti memenuhi syarat seperti bebas daripada senarai syak dan senarai hitam serta telah mengisi Malaysia Digital Arrival Card (MDAC), kecuali warga Singapura yang dikecualikan daripada keperluan ini,” katanya.

Zakaria berkata, pihaknya menyokong dasar kerajaan mempermudah kemasukan warganegara asing ke Malaysia, terutama pelawat sosial yang mampu menjana ekonomi negara.

“Jabatan juga sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan pengembara asing yang memasuki Malaysia tanpa kompromi terhadap isu keselamatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top