Melbourne: Pemain kelayakan dari Lubnan, Hady Habib, mencipta sejarah apabila menewaskan pemain China, Bu Yunchaokete, dengan keputusan 7-6(4), 6-4, 7-6(6) hari ini, sekali gus mara ke pusingan kedua Terbuka Australia.
Habib, pemain nombor 219 dunia, menjadi pemain pertama dari Lubnan yang memenangi perlawanan utama perseorangan lelaki di kejohanan Grand Slam pada era profesional.
Perlawanan di Court 13 di Melbourne Park berlangsung dalam suasana penuh meriah dengan sorakan padu penyokong yang memenuhi teres kecil di gelanggang.
Selepas memenangi tiebreak penentuan, Habib mengangkat raketnya ke arah penonton dan dengan penuh bangga memegang bendera Lubnan, mencetuskan sorakan gemuruh daripada penyokong yang hadir.
Kejayaan Habib hadir di tengah situasi tegang di Lubnan, di mana gencatan senjata antara Israel dan kumpulan militan Hezbollah pada 26 November masih bertahan selepas hampir 14 bulan perang.
Dilahirkan di Texas, Amerika Syarikat (AS), Habib berpindah ke Lubnan bersama keluarganya pada usia enam tahun sebelum kembali ke AS untuk mengembangkan kerjayanya sebagai pemain remaja.
Habib pernah mewakili Lubnan di Olimpik Paris dan mencipta kejayaan besar tahun lalu apabila menjadi pemain pertama dari negara itu yang memenangi kejohanan dalam Jelajah Cabaran ATP di Chile.
Dengan kemenangan ini, Habib bukan sahaja mencipta sejarah tetapi juga membawa sinar harapan dan kebanggaan kepada sebuah negara yang sedang bergelut dengan cabaran besar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




