Warga emas terpedaya 'scam', wang hampir RM1 juta lesap

Warga emas terpedaya 'scam', wang hampir RM1 juta lesap

am@hmetro.com.my

Ipoh: Percaya dengan janji 20 peratus pulangan keuntungan dalam masa setengah jam jika melabur akhirnya seorang warga emas kerugian hampir RM1 juta apabila ditipu sindiket penipuan pelaburan tidak wujud.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat, berkata warga emas berusia 67 tahun itu terpengaruh dengan iklan di media sosial Facebook (FB) berkaitan pelaburan saham pada 4 Disember lalu.

Menurutnya, mangsa menekan pautan yang diberikan seorang wanita sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan sembang WhatsApp dan diminta memuat turun aplikasi.

“Mangsa berjaya diperdaya suspek untuk melakukan 16 transaksi pembayaran secara dalam talian kepada tiga akaun bank berbeza berjumlah keseluruhan RM947,000.

“Pada 11 Januari (semalam), mangsa yang juga pengadu membuat semakan dan kemudiannya mendapati pelaburan terbabit tidak wujud.

“Justeru Polis Daerah Ipoh menerima laporan yang dibuat oleh lelaki warga emas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top