am@hmetro.com.my
Abu Dhabi: Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (MY-UAE CEPA) hanya memerlukan 11 bulan untuk dimuktamadkan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata ini menjadikannya Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang paling pantas diselesaikan dalam sejarah Malaysia.
Beliau berkata, ini membuktikan komitmen dan kerjasama diberikan kedua-dua pihak dalam merealisasikan penyelesaian perjanjian tersebut.
MY-UAE CEPA ditandatangani Tengku Zafrul mewakili Malaysia, manakala UAE diwakili Menteri Negara Bagi Perdagangan Luarnya, Dr Thani Ahmed Al-Zeyoudi (kanan).
Hadir menyaksikan majlis itu adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UAE, Sheikh Mohammed bin Zayed Al-Nahyan.
Tengku Zafrul menjelaskan bahawa MY-UAE CEPA dijangka meningkatkan perdagangan dua hala sekurang-kurangnya 60 peratus dalam tempoh lima tahun, sekali gus menyumbang kepada pembangunan yang lebih mampan.
“MY-UAE CEPA juga merupakan FTA pertama antara Malaysia dan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
“Pemuktamadan perjanjian ini adalah peristiwa penting dalam usaha kami untuk mempereratkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan UAE.
“Insya-Allah, MY-UAE CEPA akan menjadi pemangkin kepada integrasi ekonomi yang lebih rapat, menyumbang kepada kemakmuran ekonomi bersama dan pertumbuhan yang lebih mampan untuk kedua-dua negara,” katanya.
UAE merupakan rakan dagang Malaysia yang kedua terbesar bagi 2023 dalam rantau Asia Barat, selepas Arab Saudi, selain negara kedua terbesar bagi destinasi eksport selepas Turkiye dan kedua terbesar bagi sumber import negara selepas Arab Saudi dalam kalangan negara-negara di rantau Asia Barat.
Dalam tempoh 11 bulan pertama 2024, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan UAE adalah RM39.53 bilion, peningkatan 8.6 peratus tahun-ke-tahun.
Hubungan ini mencerminkan kepentingan strategik UAE sebagai rakan ekonomi utama Malaysia di rantau berkenaan.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata Malaysia seterusnya akan memberi tumpuan seterusnya kepada perbincangan FTA dengan negara GCC yang lain iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Arab Saudi, dan Qatar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




