Forest berjaya sekat kebangkitan Liverpool

Forest berjaya sekat kebangkitan Liverpool

London: Usaha Liverpool untuk lebarkan jurang mata dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) disekat Nottingham Forest selepas seri 1-1 dalam pertembungan awal pagi tadi.

Chris Wood meletakkan Forest di depan seawal minit kelapan di Stadium City Ground namun Liverpool yang mendominasi hampir seluruh 97 minit permainan akhir berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol daripada pemain gantian Diogo Jota.

Aksi cemerlang penjaga gol Matz Sels berjaya menjadi penghalang kebangkitan pendahulu itu namun satu mata sudah cukup memastikan mereka kekal dengan kelebihan enam mata di depan Forest buat pasukan Arne Slot yang kurang satu perlawanan.

Forest memenangi tujuh perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan, membangkitkan persoalan kemungkinan untuk mengulangi kejayaan luar biasa Leicester meraih gelaran pada musim 2015/16.

Wood yang berada di tahap terbaiknya membuatkan penyokong tuan rumah percaya kemampuan mereka untuk menang apabila meledak gol hanya lapan minit selepas perlawanan bermula selepas dia menyempurnakan hantaran Anthony Elanga.

Liverpool menguasai lebih daripada 70 peratus penguasaan bola, melakukan 23 percubaan ke arah gol tetapi hanya memberi ancaman serius di hadapan gol selepas rehat.

Manakala Jota membuktikan kewibawaannya sebaik sahaja dimasukkan apabila dia menanduk masuk sepakan sudut Kostas Tsimikas.

Sels kemudian melakukan penyelamatan luar biasa untuk menafikan percubaan Jota, Mohamed Salah, dan Cody Gakpo daripada meraih gol kemenangan, manakala Salah juga mempunyai percubaan ke arah gol yang berjaya digagalkan Sels.

“Saya tidak boleh meminta lebih daripada itu.

“Separuh masa kedua amat cemerlang.

“Tidak banyak pasukan yang boleh mencipta begitu banyak peluang menentang lawan yang sangat kuat dari segi pertahanan. Malangnya, kami tidak dapat gol kedua,” kata Slot.

Keputusan seri kedua berturut-turut dalam saingan itu menyaksikan Liverpool membuka peluang untuk Arsenal mengurangkan jurang di puncak kepada empat mata apabila mereka melayan kunjungan Tottenham dalam pertembungan derby di utara London awal pagi esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top