am@hmetro.com.my
Putrajaya: Program pembetulan ketajaman penglihatan mata kepada murid Tahun 1 kategori B40 serta M40 akan diperluaskan ke seluruh negara dalam usaha meningkatkan kesihatan mata golongan berkenaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) itu bagi memastikan isu kesihatan penglihatan murid terus diberi keutamaan.
“Program ini amat baik kerana sebelum ini kita hanya ada program pemberian kaca mata sahaja tetapi hari ini (program) pengkhususan yang sebenarnya, itulah penyelesaian pada masalah pembelajaran kepada anak-anak ini yang mesti kita ambil perhatian.
“Jadi insya-Allah program ini akan kita perluaskan dan ini komitmen kita bersama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kaca Mata Bagi Program Pemeriksaan Refraksi dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan Murid Sekolah di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Program dengan kerjasama Optimax Eye Specialist Center Sdn Bhd menyaksikan 258 murid Tahun 1 kategori B40 dan M40 dari 16 sekolah sekitar Putrajaya menjalani pemeriksaan refraktif sebelum 100 daripadanya dikenal pasti memerlukan cermin mata.
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, program rintis terbabit adalah bagi membolehkan murid tidak berdepan sebarang masalah penglihatan ketika mengikuti proses pembelajaran.
“Ini adalah satu program rintis yang sangat baik dan kita tahu bahawa rabun atau masalah refraksi ketidaktajaman penglihatan ini satu cabaran yang besar bagi murid sekolah.
“Mereka akan tergendala dalam pembelajaran dan pengajaran. Jadi sangat mustahak untuk ditangani segera,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




