'Saya sangat penat, tak mampu beraksi masa tambahan'

'Saya sangat penat, tak mampu beraksi masa tambahan'

Arlington: Ketika pasukannya berada dalam tekanan dan perlawanan hampir berlanjutan ke masa tambahan, Erling Haaland akhirnya meledak gol kemenangan untuk membawa Norway ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2026.

Sebaik wisel penamat dibunyikan selepas kemenangan 2-1 ke atas Ivory Coast yang menjadi kemenangan pertama Norway dalam sejarah aksi kalah mati Piala Dunia, penyerang tinggi lampai itu terus mencari pemain tengah, Patrick Berg untuk mencium dahinya sebagai tanda penghargaan atas bantuan jaringan yang membolehkannya menjaringkan gol empat minit sebelum tamat perlawanan.

Dia jelas gembira apabila perjalanan Norway di Piala Dunia diteruskan hingga pertemuan dengan Brazil di pusingan 16 terakhir, Isnin ini.

“Saya sangat penat, jadi saya fikir, saya tak mampu bermain masa tambahan, jadi kami mesti menjaringkan gol,” kata Haaland kepada penyiar Norway, TV2.

Selepas menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan pertama peringkat kumpulan sebelum direhatkan pada perlawanan ketiga, Haaland tampil cemerlang sepanjang kejohanan, namun sebahagian besar aksi 90 minit menentang Ivory Coast dia kurang memberi impak.

Bergerak di antara dua pertahanan tengah lawan, Haaland sempat melakukan tandukan pada awal permainan tetapi percubaannya tidak cukup bertenaga dan dia semakin tenggelam selepas itu.

Antonio Nusa meletakkan Norway di hadapan pada babak pertama, namun dia bersama Alexander Sorloth di bahagian sayap sering memegang bola terlalu lama berbanding membuat hantaran lebih awal kepada Haaland.

Keadaan itu menyebabkan larian penyerang itu menjadi sia-sia dan akhirnya dia hanya menunggu di bahagian tengah.

Apabila Amad Diallo menjaringkan gol buat Ivory Coast pada minit ke-74, detik itu menjadi permulaan kepada fasa paling penting dalam karier antarabangsa Haaland.

Sebelum gol itu, jurulatih Norway, Stale Solbakken mengeluarkan Nusa dan Sorloth yang digantikan dengan Andreas Schjelderup dan Oscar Bobb, namun masalah untuk mengumpan bola kepada Haaland masih berterusan.

Keadaan itu berubah selepas Berg mengambil inisiatif sendiri apabila bijak melorong bola ke hadapan pintu gol selepas menerima hantaran daripada Bobb.

Haaland seolah-olah terkejut menerima hantaran yang begitu sempurna sehingga hampir terlepas peluang di depan pintu gol, namun sentuhan perlahanannya sudah memadai untuk menolak bola melepasi garisan dan membawa Norway mara ke pusingan seterusnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top