Ecuador kemuka aduan gangguan bising di hotel

Ecuador kemuka aduan gangguan bising di hotel

Mexico City: Persekutuan Bolasepak Ecuador (FEF) memfailkan aduan kepada penganjur Piala Dunia selepas penyokong tempatan berkumpul dan membuat bising di luar hotel pasukan itu.

Insiden berkenaan berlaku ketika Ecuador bakal berdepan tuan rumah bersama, Mexico dalam pusingan 32 terakhir, pagi ini, dan FEF menyatakan bahawa tindakan terbabit bercanggah dengan semangat permainan yang adil.

Media tempatan melaporkan kira-kira 1,000 penyokong Mexico membuat bising di luar hotel pasukan Ecuador di Mexico City pada malam Isnin, menggunakan alat termasuk kuali dan baldi sambil menyanyikan lagu rakyat Mexico ‘Cielito Lindo’ sebelum pihak polis mengarahkan mereka beredar.

“Tindakan ini jauh daripada prinsip permainan adil, kesaksamaan dan perpaduan yang sepatutnya ditunjukkan dalam bola sepak Piala Dunia,” kata FEF dalam satu kenyataan.

Mereka menggesa pihak berkuasa memberi perhatian lebih serius terhadap insiden seperti itu serta mengambil langkah yang perlu untuk melindungi pemain, staf kejurulatihan dan penyokong Ecuador.

“Kami percaya tindakan tiada semangat kesukanan ini tidak akan mencemarkan sambutan bola sepak yang menyatukan dua negara bersaudara,” kata FEF, sambil menambah bahawa Ecuador akan memberi reaksi balas di atas padang.

Reuters sudah menghubungi penganjur di Mexico City untuk mendapatkan komen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top