Chattanooga: Fabian Ruiz yakin Sepanyol semakin menemui rentak ketika juara Eropah itu berusaha menamatkan penantian 16 tahun untuk memenangi perlawanan kalah mati di pentas Piala Dunia apabila menentang Austria, Jumaat ini.
Menjadi salah satu pasukan pilihan sebelum kejohanan, skuad La Roja bermula perlahan apabila terikat tanpa jaringan menentang Cape Verde, namun bangkit dengan kemenangan ke atas Arab Saudi dan Uruguay untuk menjuarai Kumpulan H.
“Perlawanan pertama tidak berjalan seperti yang kami mahu. Ia perlawanan untuk mencari rentak dan Cape Verde menyukarkan kami,” kata Ruiz kepada AFP.
“Saya percaya pasukan semakin baik dari satu perlawanan ke perlawanan seterusnya. Kami tahu Piala Dunia ini sangat sukar, tetapi kami mempunyai keyakinan tinggi terhadap diri sendiri dan tugas kami,” katanya lagi.
Selepas menjuarai Piala Dunia pertama mereka pada 2010 ketika mendominasi tiga kejohanan utama dalam era generasi emas, Sepanyol bergelut di pentas dunia.
Mereka tersingkir di peringkat kumpulan sebagai juara bertahan pada 2014, kemudian tewas menerusi sepakan penalti kepada Rusia dan Maghribi di pusingan 16 terakhir dalam dua Piala Dunia terakhir.
“Kami sudah lihat bahawa pada masa ini, mana-mana pasukan boleh mengalahkan anda.
“Saya fikir kami sudah bersedia dan menantikan perlawanan itu,” kata Ruiz, sehari selepas Paraguay menyingkirkan Jerman.
Walaupun baru memenangi Liga Juara-Juara kali kedua berturut-turut bersama Paris Saint-Germain (PSG) di peringkat kelab, pemain berusia 30 tahun itu terpaksa menerima kesan daripada permulaan perlahan Sepanyol.
© New Straits Times Press (M) Bhd




