London: Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, perlu segera bangkit daripada prestasi goyah jika mahu memastikan kedudukan selesa mereka di puncak liga tidak tergugat hujung minggu ini.
Everton dan Tottenham pula akan bertembung dalam pertemuan dua pasukan yang terdesak, sementara penyerang Newcastle, Alexander Isak, berpeluang menghampiri rekod jaringan EPL.
Sepanjang musim ini, Liverpool kelihatan bersedia menjadikan perebutan gelaran liga sebagai dominasi mutlak untuk merangkul trofi pertama mereka sejak 2020.
Namun, kelemahan ketara mula kelihatan apabila skuad kendalian Arne Slot itu mencatat keputusan seri menentang Manchester United dan Nottingham Forest serta tewas kepada Tottenham dalam separuh akhir Piala Liga.
Walaupun hanya dua kali tewas dalam semua kejohanan musim ini, prestasi tidak menentu Liverpool memberi harapan kepada pencabar terdekat mereka untuk mengejar.
Arsenal, di tangga kedua, hanya empat mata di belakang Liverpool yang memiliki satu perlawanan dalam tangan berbanding kelab London Utara itu.
Liverpool bakal menghadapi ujian sukar dalam kunjungan ke Brentford, selepas pasukan itu berjaya bangkit untuk seri menentang Manchester City, Selasa lalu.
Kapten Liverpool, Virgil van Dijk, menyeru rakan sepasukannya untuk kekal tenang dan fokus menghadapi cabaran.
“Dua keputusan seri ini tidak menyenangkan, tetapi kami ada peluang lain pada Sabtu untuk bekerja keras dan meraih kemenangan di Brentford, sebelum meneruskan perlawanan seterusnya,” kata Van Dijk.
© New Straits Times Press (M) Bhd




