Ipoh: Kementerian Pendidikan (KPM) mempergiat usaha dalam mengembangkan lagi Gendang 24 Perayaan di sekolah sebagai sebahagian daripada inisiatif menyokong permohonan seni budaya berkenaan untuk diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pelbagai perbincangan sudah diwujudkan sejak Mei lalu di peringkat kementerian dan masyarakat bagi mengenalpasti langkah yang boleh dilaksanakan untuk memperkembangkan serta memperkukuh Gendang 24 Perayaan.
“Daripada situ, kita melaksanakan program train the trainers dengan melatih tenaga pengajar di sekolah untuk memperjuangkan dan memperkembangkan Gendang 24 Perayaan.
“Dengan usaha itu, hari ini kita nampak persembahan pembukaan dari semua masyarakat yang begitu majmuk dan memaparkan perpaduan Malaysia yang sebenar.” katanya ketika berucap pada majlis Kejohanan Jemputan Sekolah Rendah Gendang 24 Perayaan Peringkat Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata, inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada sekolah yang belum mempunyai persembahan atau aktiviti berkaitan Gendang 24 Perayaan supaya lebih banyak institusi pendidikan dapat memperkenalkan dan memelihara seni budaya berkenaan.
KPM buat pertama kali menganjurkan Kejohanan Jemputan Sekolah Rendah Gendang 24 Perayaan Peringkat Kebangsaan 2026 sebagai acara rasmi kebangsaan.
Penganjuran itu menjadi langkah awal KPM memperkasa seni Gendang 24 Perayaan secara lebih tersusun di sekolah, selain mengiktiraf warisan budaya yang semakin berkembang dalam sistem pendidikan negara.
Sebanyak 16 pasukan terbaik sekolah rendah dari seluruh Malaysia yang melibatkan 417 pelajar telah berentap bagi merebut kejuaraan Gendang 24 Perayaan Peringkat Kebangsaan 2026 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




