Gabungan Elemen Tradisional dan Moden
Lagu “Bila Nak Kahwin?” ini turut menampilkan elemen muzik pop moden dengan sentuhan klasik seperti bunyi alat muzik akordion yang memberikan lagi nuansa unik sehingga menjadikan lagu tersebut sedap di dengar dan mudah diterima masyarakat.
“Saya mahukan kelainan dalam lagu ini sambil mengekalkan melodi yang segar. Namun, saya juga cuba mengimbau kembali gaya lagu-lagu lama seperti ‘Hati Hati’ dan ‘Jaga Jaga’,” jelasnya.
Proses rakaman lagu ini juga dikhabarkan hanya mengambil masa sekitar 3 hingga 4 jam menjadikannya pengalaman yang pantas tetapi penuh makna bagi Amira.
Lebih istimewa, ini merupakan kali pertama Amira berjinak-jinak dalam penulisan lirik bersama dengan kedua-dua komposer tersebut.
Konsep Muzik Video Yang Dekat Dengan Kehidupan
Muzik video bagi lagu “Bila Nak Kahwin?” dijangka mendapat sambutan yang hangat apatah lagi pelakon popular, Fattah Amin turut menjadi sebahagian daripada muzik video berkenaan.
Justeru, Amira berharap dapat menyampaikan mesej tentang kepercayaan kepada takdir Ilahi kepada para pendengar.
“Soalan cepu mas seperti ‘Bila nak kahwin?’ itu pasti biasa didengar oleh ramai orang, dan MV ini cuba menggambarkan situasi sebenar yang berlaku dalam kehidupan seharian.
“Saya ingin mengingatkan semua bahawa jodoh, rezeki, dan masa depan kita semuanya ditentukan oleh Tuhan. Saya harap lagu ini boleh menjadi sumber inspirasi bagi mereka yang sering diajukan soalan yang sama seperti saya,” ulasnya.
Amira turut berharap agar lagu ini diterima baik bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di pasaran antarabangsa.
Malah, dapat menjadi tular di platform media sosial seperti TikTok dan memberikan impak yang besar kepada peminat dan pendengar muzik.
Sekadar info, lagu “Bila Nak Kahwin?” kini boleh didengari di semua platform penstriman utama seperti Apple Music, Joox, Spotify, dan YouTube Music.
Lagu ini juga boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan melalui semua syarikat telekomunikasi tempatan.
Jangan lepaskan peluang untuk mendengar single terbaru dari Amira Othman yang pasti memberikan keceriaan dengan mesej positif dan muzik yang segar. Juga, jangan lupa untuk berkongsi pengalaman anda dengan hashtag #BilaNakKahwin di media sosial.




