Letupan kilang kimia di Kapar, asap kuning pedihkan mata

Letupan kilang kimia di Kapar,  asap kuning pedihkan mata

Ruwaida Md Zain

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Letupan kuat di sebuah kilang bahan kimia di kawasan perindustrian Kapar, Klang, hari ini mencetuskan kebimbangan berikutan pelepasan asap berwarna kuning yang memedihkan mata, selain menyebabkan kerosakan pada beberapa kilang berhampiran.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.45 petang berhubung kejadian itu dan siasatan mendapati ia dipercayai berpunca daripada bahan kimia yang disimpan di pekarangan kilang kimia terbabit.

“Terdapat kerosakan pada bangunan kilang terbabit dan juga kilang-kilang berhampiran.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Pihak bomba dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pasukan Hazmat yang tiba di lokasi mengesahkan bahan terbakar adalah recycle asid (asid kitar semula), dengan sebuah lori tangki musnah dalam letupan itu.

“Komander Operasi melaporkan, pihaknya tiba di lokasi dan terdapat asap berwarna kuning yang memedihkan mata.

“Pasukan Hazmat membuat pengujian udara dan mendapati udara dalam keadaan normal,” katanya kepada media, sebentar tadi.

Katanya, pasukan Hazmat masih membuat pemantauan di lokasi dan menunggu Jabatan Alam Sekitar hadir ke lokasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top