redzuan.muharam@hmetro.com.my
Jitra: “Saya tak mampu nak memberinya kemewahan jadi hanya itu mampu diberikan buat isteri sebagai tanda ingatan terhadapnya sempena hari istimewa kami.”
Itu kata Muhammad Badrul Nizam Zulkefli, 29, ketika berkongsi kisahnya yang memberi kejutan iaitu makan malam buat isteri tercinta, Siti Syazwani Abdul Ghani, 32, sempena ulang tahun kelima perkahwinan mereka pada 1 Ogos lalu.
Kisah itu menarik perhatian warganet selepas Siti Syazwani berkongsi gambarnya bersama suami ketika meraikan ulang tahun perkahwinan mereka dengan sederhana tapi cukup romantis kerana bukan di restoran atau hotel lima bintang namun halaman rumah.
Rata-rata warganet kagum dengan usaha Muhammad Badrul Nizam sebagai suami kerana berusaha menggembirakan isteri dan turut mendoakan kebahagiaan mereka.
Berkongsi kisah itu, Muhammad Badrul Nizam dari Kampung Telok Gelam, di sini berkata, dia mendapat idea untuk memberi kejutan kepada isterinya kira-kira jam 5 petang pada hari ulang tahun perkahwinannya dengan isteri.
Dia yang bertugas sebagai pembantu keselamatan berkata, keinginan itu lebih kuat mengenangkan pengorbanan isterinya dalam menempuh suka duka dengannya sepanjang bergelar pasangan.
“Sepanjang lima tahun kami berkahwin, saya tak pernah memberinya kejutan dan tahun lalu pun sekadar beri ucapan.
“Tapi tahun ini tergerak hati nak buat sesuatu bagi menghargainya… lagipun, sehari sebelum hari ulang tahun perkahwinan kami, isteri berulang kali bertanya mengenai hari berkenaan (hari ulang tahun perkahwinan).
“Saya dapat rasakan dia mahukan sesuatu dan cuba ingatkan tarikh penting itu. Jadi saya cuba buat kejutan dengan sediakan hidangan ringkas buat makan malam kami seperti dalam gambar itu,” katanya kepada Harian Metro.
Muhammad Badrul Nizam berharap, isterinya gembira dengan kejutan diberi kerana hanya dapat berkongsi rezeki dan meraikan hari penting mereka dalam suasana sederhana saja.
“Nampak isteri gembira selepas dapat kejutan pada malam itu dan semoga apa saya lakukan itu membahagiakannya.
“Nak ajak bercuti, jenuh kena menabung jadi saya buat apa yang termampu saja.
“Tak sangka pula akan tular dan tergelak membaca komen warganet kerana ada yang tak sangka meja berkenaan untuk makan malam kami hingga fikir ia berkait upacara pemujaan. Tapi saya suka kerana mengangkat suasana kampung,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Siti Syazwani berkata, dia tidak menyangka suaminya akan membuat kejutan berkenaan kerana sebelum ini hanya memberi ucapan sempena ulang tahun perkahwinan mereka.
“Pagi sebelum pergi kerja, saya ada ucapkan selamat ulang tahun perkahwinan kepada suami namun dia hanya diam saja.
“Saya tak berkecil hati pun sebab tahu karakternya memang begitu tapi dalam jam 8 malam, suami minta saya hantar lokasi menerusi aplikasi WhatsApp.
“Tak fikir apa pun sehingga balik rumah dan nampak ada meja dengan lilin dan makanan di atasnya,” katanya yang bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital.
Kata Siti Syazwani, kecil atau besar sambutan bukan persoalannya kerana tetap terharu dengan usaha suami dalam meraikan hari ulang tahun perkahwinan mereka.
“Saya tahu kemampuannya dan kerana itu tak pernah minta lebih daripadanya.
“Bagi saya, cukup bila suami beli keperluan rumah selepas dapat gaji dan tunaikan tanggungjawabnya terhadap saya juga tiga anak kami.
“Tapi malam itu, dia cuba juga membahagikan saya dengan usahanya menghias meja serta menyediakan hidangan daging burger, dua ketul nuget, brokoli dan kobis.
“Itu pun sudah memadai dan saya ucapkan terima kasih kepada suami. Saya sangat menghargai usahanya dan semoga perkahwinan kami berbahagia sampai syurga,”katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




