am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) menahan lapan pendatang asing tanpa izin (Pati) di terminal bas Lembah Sireh di sini, pagi tadi.
Kesemua pati warga Myanmar dan Nepal termasuk seorang wanita itu dipercayai akan menaiki bas untuk menuju ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai buruh.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam tangkapan pertama jam 7 pagi, pasukannya ternampak empat lelaki warga asing dalam keadaan mencurigakan di kawasan parkir terminal bas.
“Pasukan meminta mereka menunjukkan dokumen pengenalan diri namun gagal dan mereka disyaki masuk ke Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah iaitu melalui jalan yang tidak diwartakan
“Hasil soal siasat, keempat-empat lelaki berusia 19 hingga 28 tahun itu memberitahu mereka menaiki perahu dari Thailand ke pangkalan haram dipercayai di tebing sungai Kelantan.
“Setiap mereka dikenakan bayaran sebanyak RM11,000 bagi keseluruhan perjalanan dari negara asal dan mereka seterusnya menaiki kereta sebelum diturunkan ke Terminal Bas Kota Bharu untuk ke Kuala Lumpur dengan dijanjikan pekerjaan sebagai buruh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tangkapan kedua juga di lokasi sama apabila pasukan mengesan sebuah kereta jenis Honda Accord yang menurunkan empat warga asing dan selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandunya segera melarikan diri.
Ahmad Radzi berkata, empat warga Nepal berusia 18 hingga 27 tahun termasuk seorang wanita ditahan apabila gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
“Mereka mengaku dibawa oleh seorang lelaki dengan menaiki perahu dan dikenakan bayaran sebanyak RM7,000 setiap individu bagi perjalanan dari negara asal
“Mereka dipercayai masuk melalui pesisir pantai di Kampung Baru Nelayan, Tumpat dan dibawa ke Terminal Bas Kota Bharu untuk menaiki bas ke Kuala Lumpur.
“Kesemua mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




