'Kalau saya ada waktu itu, saya akan halang mereka pukul Paijang'

'Kalau saya ada waktu itu, saya akan halang mereka pukul Paijang'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Chukai: “Memang sangat sedih melihat sahabat sendiri diperlakukan begitu, lebih-lebih lagi kerana dia orang kurang upaya (OKU).

“Tambahan pula, saya pun ada adik ipar OKU walaupun dia sudah meninggal dunia, jadi faham perasaan keluarganya apabila diperlakukan begitu.”

Itu kata Mohd Healmie Zahari, 40, iaitu kenalan rapat lelaki OKU mental, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau mesra disapa Paijang, yang dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka, dekat sini, Jumaat lalu.

Mohd Healmie turut mendapat perhatian warganet selepas komen ditinggalkannya di satu hantaran Facebook (Fb) yang tular di laman sosial.

Menerusi komen itu, Mohd Healmie menceritakan perihal Ahmad Nor Al Faizan, yang bukannya tiada pelajaran namun diuji apabila ditakdirkan menjadi OKU mental.

Bercerita lanjut, Mohd Healmie berkata, dia terpanggil meninggalkan komen itu selepas melihat banyak andaian tidak betul dilemparkan selepas tularnya video insiden membabitkan Ahmad Nor Al Faizan di laman sosial.

Sebagai kenalan rapat, Mohd Healmie, yang juga Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan kini bertugas sebagai Timbalan Pengarah (Pengurusan) di Hospital Kemaman, di sini, berasa ada keperluan untuknya memberitahu identiti sebenar Ahmad Nor Al Faizan, apa masalah kesihatan yang dialami, dan sisi baik lelaki itu sepanjang perkenalan mereka.

“Saya tengok semua video yang tular dan terkejut sebab hari kejadian, saya pun pergi ke pasar tani berkenaan, cuma datang sejam lebih awal jadi tak berjumpa dengan Paijang.

“Bila tengok video pertama, saya tak dapat cam wajahnya dan bila buka kumpulan WhatsApp alumni sekolah baru tahu Paijang orangnya.

“Kalau ada di situ waktu itu, saya tentu akan menghalang individu yang nak memukulnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohd Healmie, Ahmad Nor Al Faizan adalah seniornya ketika di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu, dan mereka berkenalan pada 2000.

“Waktu kenal, saya berusia 15 tahun manakala Paijang 22 tahun dan kiranya dia sudah tamat sekolah.

“Tapi kami boleh kenal kerana Paijang senior yang setiap tahun datang ke sekolah untuk menziarah cikgu dan junior, sama ada naik bas atau motosikal… setahu saya, pernah juga dia naik basikal untuk ziarah cikgu sakit.

“Motosikal yang ditunggang waktu insiden itu juga pernah digunakan untuk ziarah cikgu. Apa boleh saya katakan, dia orang yang mesra, lembut tutur, suka belanja makan dan minum, serta rajin menyapa kerana kalau berjumpa dengan saya kami pasti akan berborak,” katanya.

Bapa tiga anak itu berkata, latar belakang pendidikan Ahmad Nor Al Faizan juga bukan calang-calang kerana pernah menjadi pelajar terbaik SPM 1995 Terengganu dan bekas pemain hoki negeri.

“Cuma difahamkan, selepas tamat sekolah, Paijang diuji dengan masalah kesihatan mental tapi dia tetap baik orangnya, cuma kami jarang berjumpa.

“Seingat saya, kali terakhir kami bertemu pada Oktober tahun lalu tapi itu pun terserempak waktu berjalan di bandar Kemaman.

“Saya hanya mampu mendoakan yang baik untuknya dan berharap ahli keluarga sahabat saya itu sabar dan tabah hadapi ujian. Masyarakat pula diharap lebih memahami dan membantu jika nampak insiden sebegitu walaupun mangsa bukan OKU sekalipun,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan lelaki OKU yang menunggang motosikal dikatakan melanggar gerai jualan dekat Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Terengganu pada 9.30 pagi Jumaat lalu.

Insiden itu menyebabkan barangan jualan peniaga tumpah dan terjatuh sebelum lelaki OKU itu dipercayai dipukul sekumpulan individu.

Polis kemudiannya menahan tiga lelaki dipercayai suspek yang memukul mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Muhammad Wan Jaafar, dipetik berkata, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top