Perjalanan menuju Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) secara rasmi bermula! Malam Sabtu lalu, sesi siaran langsung Mega Live AJL39 di TikTok TV3 Malaysia berjaya mencuri perhatian dengan pelbagai pengumuman menarik. Dari tema AJL tahun ini, tarikh jualan tiket, gandingan hos baharu yang penuh kejutan, hingga penaja utama yang hebat, semuanya menjanjikan pengalaman luar biasa. Selain itu, aktiviti istimewa Healing AJL pada hujung minggu ini pasti akan menjadi tarikan untuk peminat setia.
AJL39 bakal berlangsung pada 16 Februari 2025 (Ahad), bermula jam 9:00 malam di Axiata Arena, Bukit Jalil. Acara berprestij ini diterajui oleh Russell Mark Rodrigues sebagai Pengurus Projek dan Jamil Bin Hassan sebagai Penerbit Eksekutif. Siaran langsungnya akan dapat disaksikan di TV3 dan Tonton, memberi peluang kepada peminat muzik tanah air menikmati persembahan hebat daripada 10 finalis terpilih.
Tema AJL39 tahun ini, Nada Rasa, menonjolkan kekuatan muzik dalam menyampaikan emosi dan mesej yang mendalam melalui pelbagai jenis instrumen. Tema ini memberi ruang kepada setiap finalis untuk mempersembahkan karya mereka secara lebih puitis dan beremosi, mencerminkan keunikan serta kekuatan muzik masing-masing.
Tahun ini, AJL39 akan dihoskan oleh Naz Rahman dan Sissy Imann sebagai hos utama. Gandingan mereka dijangka membawa kemeriahan dan tenaga luar biasa sepanjang acara. Sementara itu, Fikry Ibrahim dan Malia Baby akan memeriahkan segmen Karpet Merah, menambah elemen glamor dan kemewahan sambil menyambut kehadiran selebriti dan finalis.
Tiket AJL39 mula dijual pada 18 Januari 2025 dan boleh didapati secara dalam talian di laman web rasmi www.wowtix.com.my. Peminat yang ingin merasai kehangatan malam penuh gemilang ini di Axiata Arena boleh mendapatkan tiket dengan mudah dan pantas untuk memastikan mereka tidak ketinggalan menyaksikan acara berprestij ini.
Spekulasi mengenai penambahan dua finalis baharu di pentas AJL39 akhirnya terjawab apabila diumumkan bahawa pengumuman tersebut adalah untuk memperkenalkan JardinPeau sebagai penaja utama. Jenama penjagaan kulit terkemuka ini, milik Skinville Solution Sdn. Bhd., dijangka menambahkan lagi keistimewaan dan keunggulan acara, menjadikannya lebih gah.
Peminat turut berpeluang menyertai Healing AJL39, siri digital di TikTok yang memaparkan persembahan akustik dan santai bersama 10 finalis. Selain itu, sesi meet & greet akan diadakan pada 25 dan 26 Januari (Sabtu & Ahad) di Gua Juicery, Taman Botani Putrajaya, lokasi sempurna untuk suasana santai dan mengenali dunia muzik AJL39 dengan lebih dekat.
Jangan lupa, tandakan kalendar anda untuk menyaksikan AJL39 pada 16 Februari 2025! Dapatkan tiket sekarang di laman web rasmi www.wowtix.com.my. Ikuti perkembangan terkini di platform media sosial TV3 Malaysia di Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram @TV3Malaysia.




