
JERUSALEM: Tentera Israel mendakwa melakukan serangan udara ke atas sasaran ketenteraan di Semenanjung Gaza selepas roket yang ditembak dari wilayah Palestin membedil selatan Israel, lapor AFP.
Pasukan pertahanan Israel dalam kenyataan memaklumkan, jet pejuang dan helikopter menyerang sebuah “tapak pembuatan senjata, terowong penyeludupan senjata dan pos tentera” yang dikendalikan oleh Hamas, parti pemerintah Islam bersenjata di Gaza.
“Kami tidak akan bertolak ansur dengan ancaman terhadap orang awam Israel,” tambahnya.
Penduduk Israel di bandar selatan Sderot berlindung kelmarin selepas satu roket dilancarkan dari Gaza.
Roket itu membedil satu kawasan terbuka namun tidak menyebabkan kecederaan atau kerosakan, menurut jurucakap majlis tempatan Shaar Hanegev.
Israel mengenakan sekatan sempadan maritim dan darat Gaza selepas Hamas mengambil alihnya pada 2007.
Sejak daripada itu Hamas dan Israel telah bertempur dalam tiga peperangan.
Satu gencatan senjata berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini walaupun berlaku pertikaian, termasuk rakyat Palestin menembak roket ke Israel dan negara Yahudi itu bertindak balas dengan melakukan serangan udara di kawasan pantai.
Tahun ini, Israel menandakan satu dekad sejak sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome dikerah memintas ratusan serangan roket dari Gaza dan Syria.
Dua juta penduduk Gaza mengalami kemiskinan yang melampau di bawah sekatan Israel.
Keadaan bertambah buruk ketika Hamas mengeluarkan perintah berkurung untuk mengatasi penyebaran wabak Covid-19.




