hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Bentong: Polis mengesahkan identiti lima mangsa kemalangan yang turut mengorbankan empat individu selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka ditimpa pokok tumbang di Jalan Lama Gombak-Bentong berhampiran Genting Sempah di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa yang meninggal dunia adalah pemandu pacuan empat roda, Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 34, dan penumpang belakang, Mohd Radzi Rahimi, 40.
Katanya, penumpang hadapan kenderaan itu, Nuraini Mohammad Jafri, 36, dan Muhammad Rizz Hazim Mohd Radzi, 5, yang dipangku oleh penumpang hadapan turut meninggal dunia dalam kejadian itu.
“Seorang lagi mangsa, Muhammad Rizz Haziq Mohd Radzi berusia lima tahun yang juga penumpang belakang cedera,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Harian Metro hari ini melaporkan, empat individu maut manakala seorang kanak-kanak cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka ditimpa pokok tumbang di Jalan Lama Gombak-Bentong berhampiran Genting Sempah di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, kenderaan jenis Ford Raptor yang dinaiki lima individu berkenaan dihempap pokok.
Turut dilaporkan, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Mohd Radzi Rahimi antara empat sekeluarga disahkan maut dalam kejadian kenderaan pikap dihempap pokok tumbang di Jalan Janda Baik-Bentong, dekat sini hari ini.
Selain Mohd Radzi, tiga lagi yang maut adalah isterinya, Nuriani, seorang daripada anak kembar mereka yang berusia lima tahun, Muhammad Rizz Hazim dan adik ipar, Mohammad Nizam.
Seorang lagi anak kembar pasangan itu, Muhammad Rizz Haziq, dilaporkan parah dan menerima rawatan awal di Hospital Bentong sebelum dipindahkan ke Hospital Temerloh untuk rawatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




