Mesin pengimbas bagasi juruterbang Malaysia di KLIA bukan di bawah seliaan AKPS

Mesin pengimbas bagasi juruterbang Malaysia di KLIA bukan di bawah seliaan AKPS

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Saringan pengimbas bagasi milik juruterbang Malaysia yang ditahan di Indonesia minggu lalu diselia sepenuhnya oleh pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Proses pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu dijalankan dengan pemantauan pegawai Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) di bawah kendalian MAHB.

Ini jelas menunjukkan bahawa AKPS tidak mempunyai peranan dalam pemeriksaan bagasi milik juruterbang terbabit.

BH menghubungi Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara itu.

“Benar, saya sahkan bahawa pegawai agensi di bawah AKPS iaitu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak terbabit dalam proses pemeriksaan melalui mesin pengimbas di KLIA.

“Pemeriksaan melalui mesin pengimbas bagasi ini dikendalikan oleh pihak AVSEC, dan seperti yang saya jelaskan dalam sidang media petang tadi, dapatan yang diterima dalam pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang penemuan objek mencurigakan ketika bagasi juruterbang itu melalui mesin pengimbas sebelum dibenarkan menaiki pesawat.

“Dia melalui dan melepasi semua pemeriksaan. Bagaimanapun, pada masa ini siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi mengenal pasti punca utama bagaimana dadah seberat 26 kilogram (kg) itu mampu menembusi pemeriksaan mesin pengimbas yang dilengkapi sistem berteknologi tinggi,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya enggan mengulas lanjut perkara berkenaan secara lebih terperinci kerana dikhuatiri mampu menjejaskan siasatan polis.

“Kita sedia maklum bahawa pihak berkuasa di Indonesia mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika juruterbang berkenaan ditahan pada malam 28 Julai lalu, namun konsep undang-undang di negara berkenaan dengan Malaysia adalah berbeza,” katanya.

Ketika ditanya adakah unsur counter setting turut berlaku dalam kes ini, Mohd Shuhaily berkata, unsur berkenaan akan dikesan apabila siasatan oleh polis selesai dijalankan.

“Pada saya, kami di AKPS sudah melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dan seperti yang saya jelaskan bahawa pihak kami tidak akan berkompromi dengan sebarang elemen penyeludupan.

“Malah, berdasarkan rekod sebelum ini, AKPS turut mengambil tindakan terhadap pegawai yang dikesan terbabit dalam komplot dengan sebarang elemen penyeludupan dan kemasukan warga asing secara salah,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Shuhaily meminta orang ramai memberikan ruang kepada polis melaksanakan siasatan dalam mengenal pasti pihak atau individu yang bertanggungjawab bersekongkol dalam kes berkenaan.

Untuk rekod, enam agensi teras di bawah AKPS adalah Jabatan Imigresen (JIM), JKDM, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Pada malam 28 Julai lalu, juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun itu ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, oleh Bahagian Kastam dan Cukai (BEA) Indonesia, selepas pemeriksaan terhadap bagasinya menemukan 15 paket besar mengandungi 70,114 pil estasi dan dadah syabu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top