Lapor segera jika belum terima sumbangan Ihsan Madani

Lapor segera jika belum terima sumbangan Ihsan Madani

am@hmetro.com.my

Tanah Merah: Jabatan Perdana Menteri menggesa mana-mana mangsa banjir yang belum menerima sumbangan Ihsan Madani segera membuat laporan kepada pihak berkaitan agar perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata, beliau menerima arahan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam supaya membuat semakan jika ada lagi mangsa banjir yang tercicir dan segera diambil tindakan.

“PM (Perdana Menteri) sendiri mahukan bantuan ini terus sampai kepada mangsa dengan segera sebab itu bila ada laporan, perlu diambil terus tindakan.

“Semalam saya terima arahan supaya dapat semak hingga ke akar umbi agar jangan lagi kita dengar ada yang tak dapat bantuan kerana apabila mereka daftar saja dengan pusat pemindahan sementara (PPS), sewajarnya dari segi prosedur operasi standard (SOP) layak dapat bantuan,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepatutnya dalam tempoh sebulan dari berlaku banjir, bantuan sudah diterima mangsa namun memasuki dua bulan masih ada yang belum menerima.

Katanya lagi, tidak dapat dipastikan apa kesilapan yang menyebabkan perkara itu berlaku namun meminta semua pihak berkaitan mengambil perhatian serius.

“Apabila terima aduan baru kita tahu masih ada yang belum terima bantuan dan kita perlu ambil serius dan kena selesaikan.

“Kita harap dapat dijayakan sumbangan Ihsan Madani sekaligus memastikan tidak ada lagi mangsa banjir yang tercicir,” katanya.

Terdahulu beliau hadir dalam majlis sumbangan Skuad Ihsan Madani Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pakaian seragam sekolah kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bendang Nyior, di sini.

Dalam majlis yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli itu, seramai 200 murid sekolah terbabit menerima baucer bantuan seragam sekolah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top