Dekri Trump beri kuasa `tembak’ pelajar, penyokong Palestin

Dekri Trump beri kuasa `tembak’ pelajar, penyokong Palestin

Penunjuk perasaan di luar Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada April 2018 ketika membantah pengharaman perjalanan yang menyasarkan negara majoriti Islam.

– Advertisement –

Penyokong hak sivil di Amerika Syarikat (AS) membangkitkan kebimbangan mengenai arahan yang ditandatangani oleh Presiden Donald Trump yang dilihat menjadi asas untuk satu lagi larangan perjalanan yang menyasarkan negara majoriti Islam.

Perintah eksekutif yang dikeluarkan baru-baru ini, juga disifatkan untuk menyasarkan warga asing yang telah berada di AS secara sah dan pelajar antarabangsa yang menyokong perjuangan Palestin.

– Advertisement –

Peguam sebuah kumpulan advokasi, Projek Bantuan Pelarian Antarabangsa (IRAP), Deepa Alagesan berkata, perintah baharu itu “lebih besar dan lebih buruk” berbanding larangan perjalanan “xenophobic” yang Trump kenakan ke atas beberapa negara majoriti Islam pada 2017 ketika penggal pertamanya sebagai Presiden AS.

“Bahagian paling teruk sekarang, perintah itu bukan sahaja melarang warga asing di luar AS memasuki negara ini, tetapi menggunakan rasional yang sama sebagai asas untuk menghalau mereka yang berada dalam negara ini keluar dari AS,” katanya.

Perintah baharu itu mengarahkan pegawai pentadbiran untuk menyusun senarai negara yang maklumat tapisan dan penyaringan sangat kurang sehingga menjamin penggantungan sebahagian atau penuh terhadap kemasukan warga negara berkenaan.

Bagaimanapun, perintah itu memerlukan pentadbiran mengenal pasti bilangan warga negara asing yang memasuki AS dari negara berkenaan sejak 2021 — semasa pentadbiran Presiden Joe Biden — dan mengumpul maklumat berkaitan tindakan dan aktiviti mereka.

Rumah Putih kemudian mengarahkan langkah segera untuk menghantar pulang warga asing dari negara berkenaan apabila ada maklumat yang akan menyokong tindakan pengusiran.

Perintah eksekutif Trump juga menyatakan bahawa pentadbiran mesti memastikan bahawa warga asing, termasuk mereka yang telah berada di AS, tidak mempunyai sikap bermusuhan terhadap warga, budaya atau kerajaan AS serta tidak menyokong, membantu, atau menyokong pengganas asing yang ditetapkan.

Perintah menakutkan

Alagesan memberi amaran bahawa dekri itu yang AS dakwa untuk melindungi negara itu daripada pengganas asing dan keselamatan negara lain serta ancaman keselamatan awam”, boleh mendatangkan lebih banyak bahaya kepada keluarga pendatang berbanding sekatan perjalanan 2017 yang juga dikenali sebagai “larangan Muslim”.

Menurutnya, perintah itu yang menggunakan bahasa samar-samar menakutkan kerana kelihatan memberi agensi pentadbiran AS kuasa yang luas untuk mencadangkan tindakan terhadap mereka yang menjadi sasaran.

“Pada asasnya, perintah itu adalah kaedah untuk menghalang dan menghalau golongan sasaran, untuk memecahbelahkan keluarga, menghasut ketakutan, memastikan bahawa mereka tidak dialu-alukan dan bahawa kerajaan akan menggunakan kuasa untuk menentang mereka,” katanya.

Kumpulan advokasi lain turut mengecam

Jawatankuasa Anti-Diskriminasi Amerika-Arab (ADC) menyifatkan dekri itu memberi lebih ancaman berbanding “larangan Muslim” 2017 dengan memberi kerajaan latitud yang lebih luas untuk menggunakan pengecualian ideologi” bagi menafikan visa dan menghalau seseorang dari AS.

“ADC menggesa pentadbiran Trump untuk menghentikan stigma dan menyasarkan seluruh komuniti yang hanya menimbulkan perpecahan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

“Janji kebebasan bersuara dan menyuarakan pendapat AS – prinsip yang telah lama diketengahkan oleh Presiden Trump sendiri – kini bercanggah dengan perintah eksekutif baharunya.”

Majlis Hal Ehwal Awam Muslim juga memberi amaran dalam satu kenyataan bahawa meningkatkan langkah pemeriksaan untuk negara tertentu berisiko berfungsi sebagai larangan Muslim secara de facto yang berselindungkan protokol keselamatan.

Profesor di Sekolah Undang-Undang Universiti Colorado, Maryam Jamshidi pula berkata, perintah itu menghidupkan semula larangan perjalanan ketika penggal pertama Trump, sambil mendorong agenda sayap kanan dalam perang budaya yang lebih luas.

Sebahagian daripada dekri itu secara khusus menyasarkan rakyat Palestin dan penyokong perjuangan Palestin, tambah Jamshidi.

“Sayap kanan berusaha meneruskan tanggapan bahawa warga asing, orang kulit hitam, coklat, Islam – bukan putih Judeo-Kristian, secara berkesan – mengancam ‘warga Amerika sebenar’.”

Tindakan paling jelek

Pada 2018, beberapa media AS melaporkan bahawa Trump memberitahu pembantunya bahawa AS perlu menerima lebih ramai pendatang dari negara seperti Norway, berbanding mereka dari Haiti, El Salvador dan negara Afrika.

Ramai ahli politik sayap kanan – termasuk Naib Presiden di bawah pentadbiran baharu Trump, JD Vance – menerima teori konspirasi “penggantian hebat”, yang menyatakan bahawa terdapat usaha untuk menggantikan penduduk asal AS dengan pendatang.

Perintah terbaharu Trump memberi amaran terhadap warga asing di AS yang cuba melemahkan atau menggantikan budaya Amerika.

Namun, pakar berpandangan bahawa perintah itu tidak mungkin digunakan sebagai alat untuk melakukan pengusiran secara besar-besaran.

Pelajar berdemonstrasi menyokong perjuangan Palestin di Universiti George Washington.

“Ia memberi arahan kepada agensi penguatkuasa AS untuk menggunakan sepenuhnya rangka kerja undang-undang dan kelemahan untuk mengambil tindakan paling jelek bagi menyingkirkan golongan yang Trump putuskan tidak boleh berada di AS,” kata Alagesan.

“Masih ada undang-undang yang mengehadkan alasan seseorang boleh diusir dan terdapat perlindungan terhadap orang yang berada dalam prosiding pengusiran.”

Jamshidi berkata, tidak jelas bagaimana perintah itu akan membawa kepada tindakan pengusiran, sambil menyatakan bahawa tidak dapat dipastikan sama ada undang-undang imigresen yang disebut memberi kuasa pentadbiran untuk mengusir warga asing.

Dekri itu bergantung pada Akta Imigresen dan Kewarganegaraan yang memberikan presiden kuasa untuk menyekat kemasukan ke AS kepada mana-mana warga asing – tetapi bukan untuk mengeluarkan mereka yang sudah berada di AS.

“Ini mungkin bukan tindakan pengusiran menyeluruh,” kata Jamshidi.

Namun, dia memberi amaran bahawa perintah itu boleh membawa kepada pemeriksaan teliti terhadap warga negara tersebut dan menghalang aktiviti politik – terutama perpaduan Palestin – yang boleh dianggap melanggar garis panduan pentadbiran.

Usaha mengusir aktivis pelajar

Perintah itu mengarahkan pegawai AS untuk membuat cadangan melindungi rakyat daripada warga asing yang berdakwah, menyeru keganasan mazhab, penggulingan atau penggantian budaya atau memberikan bantuan, advokasi dan sokongan kepada pengganas asing.

Jamshidi berkata, cadangan itu jelas menyasarkan warga asing, terutama pelajar asing yang mengambil bahagian dalam advokasi Palestin.

Sehubungan itu, katanya desakan ahli politik pro-Israel yang sering menggelar aktivis kampus sebagai “pro-Hamas”, dekri Trump boleh digunakan untuk menyasarkan penyokong hak Palestin yang berada di AS dengan visa pelajar.

Trump dan Setiausaha Negara, Marco Rubio sebelum ini menggesa penghantaran pulang pelajar antarabangsa.

Ketika protes solidariti Palestin melanda universiti di AS berikutan serangan kejam Israel ke atas Gaza, penyokong Israel, terutama Republikan, melabelkan pelajar yang menunjuk perasaan sebagai ancaman kepada keselamatan kampus.

Rubio mengetuai penghantaran surat Senat kepada pentadbiran Biden pada Oktober 2023, menggesa penyingkiran pelajar antarabangsa yang menyertai protes menyokong rakyat Palestin.

Surat itu menyamakan penunjuk perasaan pelajar dan penyerang 9/11. Mengikut petikan dalam surat itu, “pengajaran yang diperoleh pada 11 September 2001, apabila pengganas, kebanyakan belajar di AS atau tinggal melebihi tempoh visa, melakukan serangan paling dahsyat di bumi AS.”

“Malangnya 21 tahun kemudian, negara kita menyaksikan orang awam bersimpati terhadap pengganas yang turun ke jalan raya dan membenarkan serangan kejam Hamas terhadap Israel.”

Platform kempen pilihan raya Republikan 2024 juga menggesa pengusiran “radikal pro-Hamas” untuk menjadikan kampus universiti AS selamat dan patriotik semula.

Implikasi luas

Pengarah kumpulan advokasi Palestine Legal, Dima Khalidi berkata, jelas bahawa perintah eksekutif Trump baru-baru ini dibuat untuk menyasarkan secara khusus terhadap penyokong Palestin.

Walaupun dekri itu tidak menyatakan Israel, katanya kumpulan pro-Israel cuba menggambarkan kritikan terhadap sekutu AS itu sebagai bukan sahaja anti-Israel atau anti-Semitik tetapi sebagai “bukan-Amerika”.

“Kami harus menghubungkan perintah ini dengan pengenaan ideologi yang lebih luas dan sebahagian daripada pembersihan lebih besar yang Trump kelihatan sangat berniat untuk melaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, pentadbiran Trump berusaha untuk menggunakan kuasa budi bicara yang luas dalam undang-undang imigresen untuk membanteras penyokong Palestin yang melahirkan pandangan mereka dan menghakis hak kebebasan bersuara.

“Mereka benar-benar sedang mewujudkan gambaran mengenai apa yang boleh diterima, apa yang tidak; apa yang Amerika, apa yang tidak; apa yang patriotik, apa yang tidak,” kata Khalidi.

Pengkritik berkata, kesimpulannya ialah ketika “larangan Muslim” pertama, Trump menyasarkan pelancong dari beberapa negara majoriti Islam, namun perintah kali ini mempunyai kesan lebih meluas, termasuk mengenai apa yang dimaksudkan sebagai orang Amerika.

Sebagai contoh, dekri itu memerlukan langkah untuk memastikan “asimilasi yang betul” terhadap pendatang dan “mempromosikan identiti Amerika yang bersatu”.

Jamshidi berkata, perintah itu mempunyai implikasi yang lebih luas untuk semua jenis kumpulan berbanding edisi pertama larangan umat Islam.

“Ia adalah satu lagi tembakan serampang dua mata dalam perang budaya sayap kanan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/1/2025

Scroll to Top