firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Revolusi skuad Harimau Malaya yang sedang hebat dilaksanakan seolah-olah tercalar dek kerana rekaan dan harga jersi baharu pasukan kebangsaan dianggap tidak selari dengan pembaharuan itu.
Rata-rata penyokong bola sepak negara meluahkan rasa kecewa melihatkan kepada rekaan keluaran jenama sukan terkemuka, Puma apabila pelbagai komen ditinggalkan sama ada negatif mahupun positif.
Menerusi tinjauan Arena Metro di laman Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), ramai peminat mengkritik corak jersi negara itu yang dianggap buruk umpama ‘baju wad bersalin’ selain disamakan seperti baju sukan sekolah.
Biarpun setiap orang memiliki selera dan pandangan tersendiri, kritikan yang diluahkan ribuan penyokong sebenarnya memberi tamparan hebat kepada FAM yang sedang berusaha melakukan perubahan drastik membabitkan revolusi secara menyeluruh.
Menurut Zamri Md Shah, revolusi yang dicetuskan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail seolah-olah dicacatkan dengan pengenalan jersi baharu itu yang tidak sehebat seperti digambarkan.
“Hare…revolusi dah cun, tapi jersi macam baju sukan sekolah, kuning lagi lawa lah wei,” tulis Zamri Md Shah.
“Revolusi baru dah. Jersi buruk,” kata Mohd Anuar, manakala Zambri Jep pula meluahkan: “Ingatkan amik alih nampak kemajuan. Rupa-rupanya tidak pisang….baik beli baju kat pasar malam aku rasa lagi lawa.”
Selain itu, harga jersi Harimau Malaya pada harga RM319 itu disifatkan mahal sedangkan jenama terdahulu keluaran Nike hanya sekitar RM299.
Kebanyakan peminat meluahkan tidak mampu membeli pada harga berkenaan ditambah coraknya yang jauh ketinggalan daripada keluaran jenama lain sebelum ini.
“Dia ingat rakyat Malaysia ini kaya-kaya kot. Nak makan pun fikir-fikir. Memang cari pasar malam jawabnya,” luah Mohd Nashahruddin Abdul Halim.
“Cantik juga sebab ada corak-corak. Kalau tambah sikit warna hitam mesti lagi cun. Harga janganlah terlalu mahal sebab corak ‘simple’. Kalau cantik harga macam Nike RM299 pun saya beli je. Jadi koleksi peribadi, kalau biasa-biasa setakat gred ‘AAA’ je lah,” kata Yuzman Azua.
Bagaimanapun, ada peminat yang menerima jersi itu dengan hati terbuka dan mahu aksi skuad Harimau Malaya tampil padu seperti rekaan baharu itu.
“OK. ‘Style’ dan minimalis. V-neck, abaikan kaki kondem, tau-tau nanti beli juga,” kata Muhd Syahin.
“Rekaan baju tak penting yang penting permainan mesti mantap,” tulis Abdul Rahim Omar.
Malah ada juga mencadangkan agar FAM membuat pertandingan reka cipta jersi baharu apabila ia bukan saja memberi peluang penyokong menyertainya, bahkan cara itu akan mendekatkan hubungan peminat dengan badan induk itu.
“Lain kali nak cakap dengan FAM yang uruskan jersi ini, tolong buat pertandingan mencipta jersi skuad Harimau Malaya. Ajak penyokong turut serta memberi, tidak bukan duduk dalam gua FAM itu berangan sorang-sorang lukis jersi. Baru ada penglibatan penyokong dalam menaikkan imej Harimau Malaya,” kata Muhammad Deen.
Sementara itu, usaha Arena Metro mendapatkan respon FAM tidak berjaya apabila panggilan serta mesej WhatsApp tidak dijawab dan dibalas.
Untuk rekod, FAM memulakan revolusi skuad Harimau Malaya dengan melantik jurulatih ternama dari Australia, Peter Cklamovski serta melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend dan Dr Craig Duncan sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan.
Melengkapkan revolusi ini adalah kehadiran lapan tonggak warisan baharu yang berpengkalan di Eropah Selatan disamping dana besar yang diberikan kerajaan Malaysia untuk meningkatkan prestasi pasukan di peringkat antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




