anbia@hmetro.com.my
Damsyik: “Kami berkhidmat seawal pagi sehingga jam 12 tengah malam setiap hari. Ini jihad kami dalam proses memulihkan semula Syria,” tegas Menteri Dalam Negeri Syria, Ali Kidah.
Beliau ditemui wartawan Harian Metro pada sesi perjumpaan rasmi bersama wakil media dan badan bukan kerajaan (NGO) di pejabatnya tengah hari, semalam.
Turut serta adalah Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan, Pengerusi Muslim Care Syria, Mohmad Khteb, Setiausaha MCM Ahmad Safuan dan Timbalan Presiden MCM Mohd Johari Ismail.
Ali berkata, pihaknya dalam usaha mengekalkan keamanan berterusan di Syria selain memulihkan kepercayaan rakyat kepada pihak keselamatan.
“Kemenangan kami (tentera Hay’at Tahrir al-Sham (HTS) menumbangkan kerajaan kejam Bashar Al-Assad pada Disember lalu adalah titik perubahan dan kebebasan kepada rakyat Syria.
“Antara faktor kemenangan kami adalah ketakwaan kepada Allah SWT, semangat jihad dan bantuan berterusan dari NGO luar termasuk Malaysia yang sentiasa menyalurkan bantuan,” katanya.
Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan MCM yang sentiasa komited membantu rakyat Syria sejak lebih sedekad lalu.
“Saya terharu dengan bantuan dan sokongan berterusan NGO Malaysia yang kerap menyalurkan bantuan kemanusiaan di utara Syria ketika negara ini dilanda krisis peperangan.
“Saya teruja kunjungan rakyat Malaysia ke negara ini. Selain mengkagumi ekonomi Malaysia, saya teruja dengan kepelbagaian kaum di Malaysia dan mahu mempraktikkannya di Syria,” katanya.
Sepanjang konflik berlaku sejak 2012, Presiden Bashar al-Assad dituduh melakukan pelbagai kekejaman termasuk penggunaan senjata kimia, pembunuhan dan penindasan terhadap penentang politiknya.
Pada 8 Disember 2024, pemerintahan Bashar berakhir apabila tentera pemberontak HTS berjaya menawan Damsyik, hingga memaksa beliau melarikan diri ke Rusia.
Kejatuhan ini menamatkan lebih daripada lima dekad pemerintahan keluarga Assad di Syria.
Selepas kejatuhan rejim, Syria berdepan cabaran besar dalam proses pemulihan dan mengeluarkan rakyatnya daripada tekanan kemiskinan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




