Lepas ada Ijazah Sarjana, baharu sedia kongsi ilmu – Amerul

Lepas ada Ijazah Sarjana, baharu sedia kongsi ilmu – Amerul

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pelakon, Amerul Affendi, 38, merancang untuk menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan peringkat APEL Q (Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk bergelar pensyarah sekali gus menurunkan ilmu dalam bidang lakonan.

Amerul atau nama sebenarnya, Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, berkata dia akan mengikuti pengajian itu secara sepenuh masa yang dijangka bermula pada Mac ini.

“Insya-Allah, saya akan sambung belajar di UPSI dalam seni persembahan dan program APEL Q itu juga memerlukan pengalaman bekerja sekurang-kurangnya 10 tahun.

“Penyanyi veteran, Datuk Nash juga pernah mengikuti program ijazah sarjana secara APEL Q sebelum ini.

“Saya mahu sambung belajar kerana sampai masanya mahu mengajar serta berkongsi ilmu dengan generasi baharu selepas lebih 20 tahun terbabit dalam bidang lakonan,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas tayangan perdana filem Limbungan : Tragedi Hitam 1975 di sini, kelmarin.

Mengenai perancangan menyambung pengajian, kata pelakon terkenal filem Prebet Sapu ini, dia juga ingat dengan pesanan bintang legenda, Ahmad Yatim untuk menimba ilmu terlebih dahulu sebelum mengajar orang lain.

“Saya akui ada pelakon baharu yang datang berjumpa di set tetapi saya belum bersedia dan tidak yakin untuk mengajar mereka kerana tiada ijazah sarjana.

“Selepas memiliki ijazah sarjana nanti barulah saya yakin untuk mengajar pelakon generasi baharu pula,” katanya.

Bagaimanapun, kata Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-27 menerusi Filem Terbaik Dari Langit itu, ia bukan bermaksud dia mahu bersara dari bidang lakonan yang dicintai sejak dulu.

“Bidang lakonan tetap nombor satu. Saya sambung belajar kerana mahu kekal relevan dalam industri seni termasuk bersaing dengan bakat pelapis dalam bidang lakonan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top