Aktiviti joging bertukar tragedi, wanita maut dilanggar

Aktiviti joging bertukar tragedi, wanita maut dilanggar

am@hmetro.com.my

Penampang: Aktiviti riadah sekumpulan individu bertukar tragedi selepas salah seorang daripada mereka maut dirempuh kereta di Kilometer 7.2 berhampiran sebuah pusat beli belah menghala Pekan Donggongon, di sini, hari ini.

Mangsa wanita warga tempatan berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kes kemalangan jalan raya yang membabitkan sebuah kereta dengan seorang pejalan kaki yang sedang berjoging, jam 6.20 pagi.

Katanya, siasatan awal polis di lokasi kejadian mendapati pejalan kaki dirempuh kereta dari arah belakang.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas di HQE I, Kota Kinabalu akibat parah di bahagian kepala.

“Manakala pemandu kereta lelaki tempatan berusia 21 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemandu terbabit ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan dan berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top