'Kalau orang susah, dia akan tolong' – Rakan kenang sifat pemurah Ahmad Shah

'Kalau orang susah, dia akan tolong' – Rakan kenang sifat pemurah Ahmad Shah

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Rawang: “Kalau ada orang susah, dia akan bantu. Walaupun orang itu baru dikenalinya, dia tetap cuba menolong sedaya upaya”.

Itu kenangan rakan baik Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, Muhammad Jalalludin Othman, 35, yang menyifatkan pemergian sahabatnya itu sebagai kehilangan besar, terutama rakan rakyat Malaysia yang pernah dibantu ketika berada di Korea Selatan.

Menurutnya, dia mengenali Ahmad Shah sejak bekerja bersama di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 2017 sebelum kedua-duanya membawa haluan ke Korea Selatan.

Katanya, Ahmad Shah terlebih dahulu pergi ke Korea Selatan pada 2019, sebelum pergi bersamanya untuk bekerja di negara berkenaan selepas pulang seketika ke Malaysia.

“Dia pergi dulu, dalam tiga bulan kemudian balik. Selepas itu saya ajak dia pergi semula sebab memang saya betul-betul nak pergi.

“Kami bincang secara last minute (saat-saat akhir), pilih tiket dan dalam seminggu terus berangkat.

“Akhirnya dia yang terus menetap di sana kerana sudah mendapat permit kerja dan saya balik Malaysia pada 2024,” katanya ketika ditemui di perkarangan Masjid Bandar Tasik Puteri, di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, katanya, sepanjang mengenali Allahyarham, Ahmad Shah tidak pernah mempunyai masalah dengan orang lain malah dikenali sebagai seorang yang mudah mesra.

“Dia seorang yang ramah dan selalu tolong orang. Siapa saja yang perlukan bantuan, dia akan cuba bantu.

“Kalau ada orang baru datang ke Korea dan tidak tahu apa-apa, dia sanggup bantu, cari kerja dan tunjukkan jalan,” katanya.

Menurutnya, sifat pemurah Ahmad Shah bukan hanya kepada kenalan rapat, malah ramai individu lain yang pernah menerima pertolongannya.

“Kadang-kadang kalau kawan belum dapat gaji atau tengah susah, dia akan bantu pinjamkan duit.

“Bukan saya seorang saja, ramai orang dia pernah tolong.

“Sebab itu ramai orang kenal dia dan ramai yang datang beri penghormatan terakhir,” katanya.

Muhammad Jalalludin berkata, dia hanya mengetahui berita kematian Ahmad Shah melalui saudara isterinya selepas dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Katanya, insiden pergaduhan yang menyebabkan Ahmad Shah maut adalah kejadian paling buruk pernah berlaku sepanjang Allahyarham berada di Korea Selatan.

“Kalau gaduh biasa mungkin ada, seperti salah faham kecil antara orang bekerja, tetapi kejadian ini yang paling dahsyat.

“Sebelum ini dia tidak pernah ada masalah besar dengan sesiapa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top