am@hmetro.com.my
Port Dickson: Kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan institusi beraja mengikut lunas Perlembagaan dan tidak mencampuri urusan berkaitan proses pemilihan atau keputusan membabitkan Undang Luak di Negeri Sembilan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata walaupun kerajaan memahami ada proses tertentu yang perlu dilalui mengikut adat dan undang-undang negeri, pendirian Kerajaan Persekutuan adalah mempertahankan institusi raja yang sedang berkuat kuasa.
“Kita hendak runding. Kerajaan Negeri hendak minta pengesahan, maka Menteri Besar yang sah akan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Itu keputusan kita.
“Apakah kita hendak nafikan sistem Undang? Tidak. Undang hendak buat keputusan, buatlah ikut peraturan dia. Dia tidak setuju, ada Dewan Keadilan. Kalau tidak boleh, hendak bawa ke mahkamah. Saya tidak pernah campur bab itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Munajat Perdana bersama penduduk Linggi di Dewan Orang Ramai Linggi, di sini, hari ini.
Anwar berkata, sebagai Ketua Kerajaan Persekutuan, menjadi tanggungjawabnya memastikan institusi beraja terus dihormati sementara sebarang pertikaian diselesaikan mengikut saluran yang ditetapkan.
“Tetapi sehingga perkara itu berlaku, tanggungjawab saya sebagai Kerajaan Persekutuan, juga kepada Ketua Polis Negara, Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara, (kita) pertahankan sistem yang ada, pertahankan Yang di-Pertuan yang ada.
“Apakah saya tolak Undang? Tidak. Saya tahu bidang kuasa saya,” katanya.
Beliau berkata, sistem beraja tidak boleh diperlakukan seperti sistem politik kepartian kerana institusi itu adalah tonggak kepada sistem pemerintahan negara.
“Kerana sistem beraja itu sangat penting. Kalau besok sistem raja ini kita buat macam parti politik, boleh bertanding, boleh lawan, itu dia bukan sistem raja.
“Ini saya nak terangkan kerana negara kita mesti mendaulatkan sistem raja untuk yang dikatakan payung negeri dan Agong sebagai payung negara,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati adat dan tata cara ketika berurusan dengan institusi diraja.
“Kadang-kadang (kita) ada berbeza pendapat. Saya menghadap Yang di-Pertuan Agong, apa saya cerita? ‘Ampun Tuanku. Patik harap kalau boleh dipertimbangkan semula.’
“Itu cara dia. Ini pula hendak makzulkan atau hendak turunkan takhta seorang raja. Tidak seperti itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




