Kes dua kenderaan rempuh sekumpulan individu, ia jelas bermotifkan jenayah – Saifuddin

Kes dua kenderaan rempuh sekumpulan individu, ia jelas bermotifkan jenayah – Saifuddin

latifah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Insiden dua kenderaan merempuh sekumpulan individu di Jalan Klang Lama, semalam, bukan kes kemalangan biasa, sebaliknya ia jelas bermotifkan jenayah, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau ketika diminta mengulas berhubung insiden yang mengejutkan orang awam itu turut menjelaskan, siasatan lanjut giat dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Insiden ini adalah serius. Kita lihat dalam video (yang tular), itu bukan kemalangan biasa. Nampak macam dia (suspek) ramp (tekan minyak) untuk tujuan bunuh.

“Biar polis lakukan siasatan…saya turut difahamkan tangkapan sudah dibuat. Polis juga akan buka kertas siasatan segera.

“Mereka sudah kenal pasti nombor plat kereta (suspek) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Analisis Madani yang mengupas tajuk Malaysia Aman: Kedaulatan dan Keselamatan yang disiarkan secara langsung di TV Al Hijrah malam ini.

Terdahulu, media melaporkan dua lelaki cedera selepas dirempuh dua kenderaan, iaitu kereta Toyota Vios dan pacuan empat roda Hilux, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, dalam satu kenyataan hari ini berkata, kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob, dalam satu kenyataan hari ini turut memaklumkan, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara kumpulan suspek dengan mangsa ketika berhibur.

Katanya, setakat hari ini, empat lelaki warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan.

Saifuddin turut ditanya sama ada insiden terbabit boleh menggugat kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara aman.

Jelasnya, komitmen semua pihak penting bagi memastikan keselamatan setiap individu di negara ini terus dipertahankan.

“Apakah (insiden ini) beri gambaran keseluruhan tahap keamanan di negara kita? (Pandangan saya) negara kita kekal aman dan menjadi tanggungjawab untuk kita pertahankannya dari sudut kestabilan politik, selain itu memastikan tak berlaku ketegangan dari segi kaum dan agama.

“Ini tanggungjawab bersama. Kerajaan ada peranan, rakyat juga ada peranan untuk kekalkan keamanan yang kita kecapi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top