am@hmetro.com.my
Melaka: Lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua murid perempuan sekolah rendah.
Aziz Mohammad @Teh Eng Guan,73, yang didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan.
Prosiding kes didengar Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin manakala pendakwaan dan tertuduh masing-masing diwakili Timbalan Pendakwa Raya Rif’ah ‘Izzati Abdul Mutalif dan SS Amritpal Singh.
Mengikut pertuduhan pertama, Aziz didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dengan cara memegang kemaluan, memeluk dan mencium pipi mangsa di Bahagian Bilik Stor di Masjid Al-Abrar, Semabok, di sini, pada 15 Jun lalu, kira-kira jam 1.05 tengah hari.
Bagi pertuduhan kedua, warga emas itu didakwa melakukan perbuatan sama terhadap kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun pada 22 Jun lalu, di tempat sama, kira-kira jam 1.05 tengah hari.
Kedua-dua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan menawarkan jaminan RM25,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tidak mengganggu atau mendekati mangsa sehingga kes selesai.
Namun peguam merayu jumlah minimum atas alasan tertuduh menghidap penyakit kencing manis kronik dan masih menanggung anak bongsu pesakit autisme dan tiada risiko melarikan diri.
Katanya, tertuduh tiada risiko melarikan diri dan bakal dijamin oleh menantunya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat dipohon pendakwaan dan menetapkan sebutan semula pada 29 Julai depan bagi serahan dokumen.
Media sebelum ini melaporkan perbuatan keji seorang warga emas yang didakwa mengumpan dua murid perempuan dengan wang RM5 dan mi segera sebelum mencabul mereka terbongkar selepas kedua-dua mangsa menceritakan kejadian itu kepada guru kaunseling.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilapor berkata suspek berusia 73 tahun dipercayai melakukan perbuatan itu dalam stor sebuah masjid di Semabok yang berdekatan dengan sekolah mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




