am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Tindakan PAS mengeluarkan arahan kepada semua ahli dan penyokong parti itu untuk mengundi calon UMNO-Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hanya akan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, tindakan itu hanya memperlihatkan perpecahan dalam Perikatan Nasional (PN) yang sekali gus menampakkan sifat ‘tikam belakang kawan sendiri.’
“Saya lihat, perkara ini sebenarnya memberi kesan yang lebih kepada PN, sebab apa yang diumumkan oleh PAS itu adalah tikam belakang kepada kawan mereka sendiri.
“Ini semuanya memberi kelebihan kepada PH, sebabnya saya tengok PN, PAS dengan BERSATU ini berpecah secara dalaman walaupun mereka dalam satu gabungan.
“Saya tengok BN juga berhadapan perkara yang sama (pertelingkahan dalam gabungan), jadi, semuanya memberi kelebihan kepada PH sebenarnya,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Kilang SDS Food Manufacturing Sdn Bhd di Skudai di sini, hari ini.
Kelmarin, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, PAS mengeluarkan arahan kepada semua ahli dan penyokong parti itu untuk mengundi calon UMNO-BN bagi kerusi DUN yang tidak ditandingi PN.
Beliau dilaporkan berkata, arahan itu dikeluarkan bagi memastikan sokongan diberikan kepada UMNO-BN di kawasan yang tidak mempunyai calon daripada gabungan berkenaan.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, perkara itu secara jelas menunjukkan gerakan usaha kerjasama antara BN dengan PAS.
Beliau sekali gus meminta pengundi di Johor untuk berfikir kerajaan apa yang diinginkan mentadbir negeri itu.
“Untuk pengundi di Johor, kerajaan yang macam mana yang mereka inginkan apabila mereka mengundi nanti. Maksudnya, kalau mereka mengundi BN, mereka akan dapat PAS, mereka mengundi PAS, mereka akan dapat BN. So, fikir-fikirkanlah, anda sebagai pengundi yang bijak untuk buat keputusan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




