Odegaard akui perseteruan Arsenal, City semakin membara

Odegaard akui perseteruan Arsenal, City semakin membara

London: Kapten Arsenal, Martin Odegaard, menyifatkan persaingan sengit antara pasukannya dan Manchester City sebagai sesuatu yang semula jadi, didorong oleh keinginan kedua-dua kelab untuk menjadi yang terbaik.

The Gunners menamatkan saingan sebagai naib juara di belakang City pada musim 2022-23 dan sekali lagi kecundang kepada pasukan kendalian Pep Guardiola dalam perebutan kejuaraan sehingga hari terakhir musim lalu.

Ketegangan memuncak dalam pertemuan terakhir mereka September lalu apabila rakan senegara Odegaard, Erling Haaland, mencetuskan insiden panas dengan melemparkan bola ke arah Gabriel Magalhaes sebelum mengeluarkan kata-kata pedas kepada pengendali Arsenal, Mikel Arteta, dengan menyuruhnya supaya ‘rendah diri’.

“Namun bagi Odegaard, ketegangan di atas padang adalah perkara biasa dalam perlawanan berintensiti tinggi seperti ini.

“Dalam bola sepak, terutama aksi besar seperti ini, emosi dan adrenalin sangat tinggi. Insiden seperti itu boleh berlaku, tapi sebaik perlawanan tamat, semuanya selesai,” katanya kepada media Britain.

“Saya tak fikir perkara ini terlalu serius. Bila bermain dalam perlawanan besar, persaingan mesti wujud. Kita semua mahu menjadi yang terbaik, jadi perlawanan seperti ini memang perlu ada sedikit ‘panas’ di atas padang.

“Tapi kebanyakan pemain juga mengenali satu sama lain di luar padang. Pemain England, Brazil, saya dengan Erling… hubungan di dalam dan di luar padang kadang-kadang berbeza. Bila di atas padang, kita lawan habis-habisan,” jelasnya.

City kini berada di tangga keempat Liga Perdana Inggeris dengan 41 mata, manakala Arsenal di tempat kedua dengan 47 mata, enam mata di belakang pendahulu liga, Liverpool, yang masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top