BOGOTA: Sekurang-kurangnya 14 pengganas dan seorang anggota tentera terbunuh dalam pertempuran semalam di barat daya Colombia.
Menteri Pertahanan, Diego Molano, berkata pertempuran berlaku antara tentera dan saki baki anggota kumpulan pengganas FARC yang dibubarkan selepas perjanjian damai 2016.
“Pasukan tentera sedang melakukan operasi selepas satu serangan bom kereta menyebabkan 43 mangsa terkorban di kejiranan Corinto pada 27 Mac lalu yang didakwa dilakukan kumpulan serpihan FARC,” katanya.
Komander tentera, Jeneral Eduardo Zapateiro, dalam ciapan Twitter, mengenal pasti pengganas yang terbunuh sebagai anggota serpihan kumpulan FARC yang menolak pelan damai 2016.
“Pasukan tentera diserang bertubi-tubi menggunakan bahan letupan dan satu-satunya anggota tentera yang maut dikenal pasti sebagai Koperal Diego Ricardo Gomez Chavez,” katanya.
Dengan tiada pimpinan yang jelas, kumpulan serpihan kira-kira 2,500 pengganas itu kebanyakannya terbabit dalam pengedaran dadah dan perdagangan haram emas serta galian lain, menurut sumber risikan tentera.
Di wilayah Cauca, pihak tentera bertempur menentang National Liberation Army (ELN), kumpulan pemberontak terakhir beroperasi di Colombia.
Colombia juga kini menghadapi keganasan paling teruk sejak menandatangani pelan damai dengan pemberontakan terkuat di Amerika Latin.
Konflik di negara itu sejak 60 tahun lalu menyaksikan lebih sembilan juta mangsa yang terkorban, hilang atau terpaksa menjadi pelarian. – Foto AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




