Sainz kurang dihargai di F1

Sainz kurang dihargai di F1

Madrid: Nilai dan kualiti Carlos Sainz dalam saingan Formula Satu (F1) kurang dihargai, menurut bapanya, Carlos Sainz Snr.

Sainz berpindah ke Williams bagi musim F1 2025 selepas Ferrari memutuskan untuk menggantikannya dengan Lewis Hamilton.

Musim terakhirnya bersama Ferrari boleh dikatakan sebagai yang paling mengagumkan, dengan dua kemenangan yang hampir membantu Ferrari meraih kejuaraan pengeluar buat kali pertama sejak 2008.

Namun, Sainz terpaksa menyertai Williams selepas Mercedes dan Red Bull tidak memilihnya.

Sebaliknya, Mercedes memilih untuk menggunakan khidmat Andrea Kimi Antonelli sebagai pengganti Hamilton pada tahun ini manakala Red Bull pula memilih Liam Lawson untuk bergandingan dengan Max Verstappen.

Bercakap dalam program El Cafelito, Sainz Snr menjelaskan bahawa anaknya berada dalam ‘bayang-bayang’ di F1.

“Saya rasa dia tidak diberikan nilai dan penghargaan yang sepatutnya. Dia juga berada dalam satu tempoh di mana Verstappen menjadi pilihan utama. Red Bull memilih Verstappen, dan dia sedikit tenggelam.

“Kemudian dia akhirnya memandu untuk Ferrari, di mana ia bukan sesuatu yang mudah. Bayangkan tekanan sebagai pemandu Ferrari, sebelum itu juga pernah memandu untuk McLaren,” katanya.

Kepantasan dan sifat keras keras Sainz menjadikannya aset kepada mana-mana pasukan F1 dan walaupun menyertai Williams, Sainz berharap untuk kembali ke grid hadapan pada masa depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top