Kebakaran bongkar kegiatan curi elektrik, melombong wang kripto

Kebakaran bongkar kegiatan curi elektrik, melombong wang kripto

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kebakaran rumah di Lorong Cekara Purnama, Bandar Puncak Alam semalam, membongkar kegiatan curi elektrik disyaki untuk kegiatan melombong bitcoin secara haram.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita pada 11.41 pagi yang memaklumkan terdengar bunyi letupan dan melihat asap dari rumah jirannya.

Katanya, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh kemudian menghubungi pihak bomba serta mengarahkan satu Unit Kereta Peronda Polis (MPV) ke tempat kejadian untuk pemeriksaan.

“Pasukan MPV tiba di lokasi pada 11.53 pagi dan kebakaran berjaya dipadamkan oleh sepasukan 14 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya serta Sukarelawan Bomba Saujana Utama.

“Pihak bomba memaklumkan terpaksa memecah masuk kediaman itu kerana didapati tiada penghuni dan kebakaran didapati berlaku dalam sebuah bilik yang terdapat pendawaian yang diubah suai, mengakibatkan berlaku litar pintas dan kebakaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, katanya sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah bersama Pasukan SEAL Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan pada 4.45 petang, hari sama.

“Hasil pemeriksaan mendapati kediaman tersebut membuat penyambungan elektrik secara haram dan pemeriksaan lanjut mendapati kediaman tersebut digunakan untuk aktiviti perlombongan haram bitcoin.

“Siasatan di tempat kejadian turut menjumpai masing-masing sembilan mesin melombong bitcoin dan kipas ‘blower’ serta satu ‘router’ (alat penghala),” katanya.

Susulan kejadian, Mohd Hafiz berkata, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat yang menyebabkan kerugian serta Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 atas kesalahan melakukan penyambungan elektrik secara haram.

Tambahnya, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Saya ingin menegaskan bahawa kegiatan perlombongan bitcoin haram bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi memberi kesan buruk kepada ekonomi dan keselamatan masyarakat.

“Penyambungan elektrik secara tidak sah ini boleh membawa kepada risiko kebakaran dan kejadian tidak diingini yang mengancam nyawa serta harta benda,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk hadir ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mohamad Nurizwan Hafiz Abd Halim di talian 017-2494940.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top