Tiada lagi tadika batang buluh untuk kanak-kanak

Tiada lagi tadika batang buluh untuk kanak-kanak

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Terpaksa bersesak dan belajar di dalam rumah buluh atau surau. Itu nasib dialami berpuluh kanak-kanak Orang Asli suku Temiar yang mendiami penempatan Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, di sini.

Bagaimanapun nasib semua kanak-kanak itu dibela apabila sebuah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bernilai RM2.3 juta berjaya dibina dan akan mula beroperasi Mac hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Sya hbuddin Hashim berkata, bangunan Tabika itu bakal menempatkan seramai 25 kanak-kanak Orang Asli di kawasan terbabit.

Katanya, status pembinaan projek Tabika Kemas yang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) itu kini sudah mencapai tahap kemajuan 80 peratus.

“Kami jangkakan bangunan ini akan siap dan beroperasi pada bulan Mac untuk menggantikan Tabika yang dibina daripada buluh. Ini antara usaha supaya tidak ada lagi anak-anak masyarakat Orang Asli yang belajar dalam rumah buluh dan menumpang di surau,” katanya selepas merasmikan Majlis Apresiasi Taska Kemas Parlimen Gua Musang sesi 2024/2025 di Dewan Kesedar Inn di sini, semalam.

Tambah beliau lagi, dua Tabika Kemas di kawasan penempatan Orang Asli di Sungai Ber dan Kampung Angkek yang sebelum ini menumpang di rumah kayu dan rumah dibina Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga mendapat kemudahan sama.

Katanya, pada tahun lalu, Kemas meluluskan peruntukan sebanyak RM322,000 untuk menambah baik infrastruktur Tabika yang uzur di parlimen Gua Musang.

“Sebanyak lapan Tabika di daerah ini diluluskan untuk proses baik pulih dan saya sendiri sudah menyenaraikan sembilan lagi permohonan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas untuk diteliti oleh pihak pengurusan supaya dibuat penambahbaikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top