12 perwira gugur

12 perwira gugur

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Peristiwa serangan ke atas Lahad Datu, Sabah pada 12 tahun lalu menjadi sejarah hitam buat Malaysia apabila ramai perwira negara gugur mempertahankan kedaulatan negara daripada pencerobohan pengganas Sulu.

Tragedi 11 Februari 2013 itu masih meninggalkan kesan mendalam selepas 235 pengganas datang dari Filipina, dengan sebahagiannya bersenjata, mendarat di Kampung Tanduo di Lahad Datu.

Pengganas itu yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Askar Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara’ dihantar oleh Jamalul Kiram III yang juga seorang daripada pihak yang menuntut takhta Kesultanan Sulu dan mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu.

Pengganas terbabit menceroboh masuk Sabah dengan alasan ingin menuntut Sabah kembali menjadi wilayah Kesultanan Sulu.

Malah, pencerobohan itu mengakibatkan 12 perwira negara terkorban selain 56 pengganas serta enam orang awam turut terbunuh.

Tragedi itu menjadi lipatan sejarah dan wartawan sendiri menjadi antara petugas media yang melaporkan kejadian terbabit selepas ditugaskan ke sana pada hari pertama serangan.

Felda Sahabat di Lahad Datu menjadi ‘perkampungan’ petugas media dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika itu bagi melaporkan perkembangan berkaitan serangan di Kampung Tanduo.

Ada juga kawasan konflik dikawal rapi malah benteng turut dibina sebagai persiapan jika berlaku serangan mendadak.

Sebelum itu, wartawan pernah membuat liputan berkaitan konflik di luar negara.

Sepanjang di Lahad Datu, wartawan dapat merasai pelbagai kemusnahan yang berlaku akibat serangan pengganas Sulu.

Paling tidak dapat dilupakan ialah ketika berada di kawasan sekitar Felda Sahabat, wartawan dan jurugambar ketika itu, Othman Adnan, menyaksikan penduduk bertempiaran menyelamatkan diri apabila kediaman mereka diserang pengganas Sulu.

Malah, banyak kediaman yang berlubang teruk akibat terkena tembakan ketika pihak berkuasa berbalas tembakan dengan pengganas Sulu.

Lebih menyayat hati, ada penduduk berjalan beberapa kilometer dari kediaman bagi mendapatkan bantuan selepas terputus bekalan makan.

Wartawan sendiri, ketika itu kebetulan melalui kawasan terbabit dan terserempak dengan satu keluarga yang sedang mengusung anak mereka yang juga orang kurang upaya (OKU) di dalam kereta sorong.

Amat menyedihkan apabila mulut kanak-kanak itu dihurung lalat. Keluarga berkenaan berjalan bagi mendapatkan bantuan.

Pada masa sama, ada wanita yang terpaksa bersalin di pusat penempatan sementara di Dewan Embara Budi, Felda Sahabat, tanpa menerima rawatan sempurna di hospital akibat serangan pengganas terbabit.

Pengalaman paling tidak dapat dilupakan apabila dapat menemubual seorang penduduk Kampung Tanduo secara eksklusif yang menceritakan pengalamannya dibawa anggota polis menjadi penterjemah ketika berunding dengan pengganas Sulu.

Dia turut menceritakan bagaimana wajah bengis enam pengawal yang berkawal dan berdiri tegak mengelilingi ‘Raja Muda’ Agimuddin Kiram.

Malah, Harian Metro turut mendedahkan pengganas Sulu menggunakan tangkal kebal ketika berperang yang mana, selepas itu, PDRM mendedahkan gambar penemuan tangkal terbabit di badan pengganas yang mati.

Konflik itu akhirnya diisytiharkan tamat pada 10 April 2013 dan susulan peristiwa berdarah itu, 416 individu ditahan termasuk 110 disiasat mengikut Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012.

Pada 8 Jun 2018, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati ke atas sembilan warga Filipina yang terbabit dengan pencerobohan bersenjata Lahad Datu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top