Bunuh isteri ketika bulan madu, lelaki dipenjara seumur hidup

Bunuh isteri ketika bulan madu, lelaki dipenjara seumur hidup

Suva: Seorang lelaki dari Memphis, Tennessee, Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh isterinya ketika berbulan madu di sebuah pulau persendirian di Fiji.

Independent melaporkan, Bradley Robert Dawson, 40, disabitkan bersalah pada Disember lalu atas pembunuhan isterinya, Christe Chen, 36, di resort eksklusif Turtle Island di kepulauan Yasawa, dua hari selepas pasangan itu tiba di Fiji pada 2022.

Selepas kejadian, Dawson melarikan diri dengan menaiki kayak ke sebuah pulau berhampiran, namun akhirnya berjaya ditahan oleh pihak berkuasa.

Mahkamah Tinggi Fiji di Lautoka memerintahkan Dawson menjalani sekurang-kurangnya 18 tahun hukuman penjara sebelum layak dipertimbangkan untuk pembebasan. Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Riyaz Hamza, Rabu lalu.

Menurut Hamza, tindakan Dawson jelas menunjukkan dia mengabaikan hak isterinya untuk hidup dan melarikan diri selepas mencederakan mangsa tanpa memberikan sebarang bantuan.

Mayat Chen ditemui kakitangan resort di bilik pasangan itu dengan kecederaan teruk di kepala.

Sebelum kejadian, pasangan itu dilaporkan bertengkar dan tidak hadir untuk sarapan serta makan tengah hari keesokan harinya.

Dawson mengaku tidak bersalah dan dibicarakan selama lapan hari. Peguamnya, Anil Prasad, mendakwa pendakwaan gagal mengemukakan bukti kukuh untuk mensabitkan anak guamnya.

Prasad turut berhujah bahawa tiada tanda kecederaan pada Dawson yang menunjukkan dia terbabit dalam pergaduhan fizikal dengan isterinya. Dia juga menafikan bahawa anak guamnya cuba melarikan diri kerana barangan peribadi mereka masih berada di resort.

Bagaimanapun, hakim menolak hujah itu dan menyatakan beliau yakin tanpa keraguan munasabah bahawa Dawson adalah individu yang bertanggungjawab terhadap kematian isterinya.

Dawson bekerja dalam bidang teknologi maklumat di Youth Villages, sebuah organisasi kebajikan kanak-kanak bukan berasaskan keuntungan di Memphis. Rekod dalam talian tidak menunjukkan sebarang kes jenayah terhadapnya sebelum ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top