nfazlina@nstp.com.my
Pasir Mas: Warga emas wanita yang diburu polis selepas menyamar sebagai tetamu di majlis perkahwinan sebelum melarikan beg tangan mengandungi wang tunai RM2,500 di Kampung Tasek Berangan di sini, pada 1 Februari lalu, akhirnya ditahan hari ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, suspek berusia 61 tahun itu ditangkap jam 5.04 petang di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu di dalam sebuah teksi.
“Ketika pasukan polis melakukan rondaan di sekitar bandar Kota Bharu, kita terserempak dengan sebuah teksi jenis Nissan Sentra dalam keadaan mencurigakan dan pasukan terus mengekorinya.
“Sebaik tiba di Jalan Sri Cemerlang, pasukan polis menahan kenderaan berkenaan sebelum menangkap warga emas wanita terbabit bersama pemandu teksi berusia 62 tahun.
“Semakan lanjut mendapati suspek wanita itu mempunyai sembilan rekod jenayah lampau termasuk di Terengganu manakala suspek lelaki yang juga rakannya mempunyai satu rekod jenayah.
“Ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek adalah negatif,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Pasir Mas esok untuk perintah tahanan reman.
Media sebelum ini melaporkan, polis memburu warga emas wanita yang dikatakan mengambil beg tangan mengandungi wang tunai berjumlah RM2,500 di majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan, di sini.
Kejadian itu berlaku pada jam 12.42 tengah hari Februari lalu apabila wanita berkenaan dikatakan menyamar sebagai tetamu untuk menumpang tandas sebelum melarikan wang tunai milik saudara mara pemilik rumah.
Berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 38 saat yang tular itu, wanita bertudung dan memakai baju kurung itu dilihat keluar dari tandas.
Wanita itu kemudiannya ke ruang tamu yang turut terdapat dua kanak-kanak bermain di ruang berkenaan.
Selepas itu, wanita berkenaan mengambil beg dipercayai milik saudara mara tuan rumah yang mengandungi wang tunai RM2,500.
Susulan kejadian itu, polis menerima laporan yang dibuat pemilik beg tangan berkenaan pada 4 Februari lalu sebelum gerakan memburu suspek dilakukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




