Kawalan sempadan ada 'lompong' punca dadah mudah diseludup – Penganalisis

Kawalan sempadan ada 'lompong' punca dadah mudah diseludup – Penganalisis

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kawalan sempadan yang masih lemah mengakibatkan dadah mudah diseludup masuk dari negara jiran.

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, faktor berkenaan dikenal pasti antara punca trend penyalahgunaan dadah merekodkan peningkatan ketara dalam tempoh tiga tahun ini.

Beliau berkata, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis mencatatkan kes penyalahgunaan dadah yang tertinggi berikutan kedudukan empat negeri itu yang hampir dengan pintu sempadan antarabangsa menyebabkan ia mudah menjadi laluan penyeludupan.

“Kawalan sempadan masih lagi ada kelompongan di lorong-lorong tikus menyebabkan penyeludup ini dapat seludup barang terutama dadah.

“Penyeludup akan tengok bila waktu bertugas pegawai sempadan ini yang terdiri daripada tentera dan lain-lain.

“Penyeludup ini juga agak cerdik, mereka nampak di laluan pintu sempadan itu ketat, mereka akan cari jalan laut dan sebagainya. Laut kita terbuka luas, jadi ikutkan keanggotaan pengawal untuk kawal memang tak cukup,” katanya kepada Harian Metro.

Justeru itu, beliau menyarankan kerajaan menambah bilangan pegawai penguatkuasa di pintu sempadan bagi menambah kecekapan kawalan, selain menambah baik peralatan untuk mengesan dadah dengan lebih efektif.

“Tindakan penguatkuasaan harus berterusan, ia tidak boleh bermusim agar memberikan tekanan kepada penyeludup seterusnya aktiviti penyeludupan dapat dibanteras,” katanya.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meluahkan kebimbangan terhadap trend penyalahgunaan dadah yang merekodkan peningkatan ketara dalam tempoh tiga tahun ini.

Beliau dipetik berkata, seramai 192,857 orang terbabit dalam penyalahgunaan dadah pada tahun lalu berbanding 145,526 orang pada 2023 dan 137,176 orang pada 2022.

Katanya, lebih membimbangkan apabila julat umur individu 15 hingga 39 tahun paling tinggi terbabit dengan najis dadah iaitu kira-kira 61 peratus.

Mengulas lanjut, Shahul Hamid berkata, satu lagi faktor kes penyalahgunaan dadah terus meningkat adalah berikutan penguatkuasaan yang tidak berupaya menghapuskan penyeludup.

“Maknanya ada kes yang membabitkan tangkapan oleh pihak kastam dan polis, rampasan dadah dibuat, namun tak mencukupi kerana masih lagi ramai yang menjadi penyeludup dan pembekal dadah kepada mangsa terutama di timur dan utara tanah air.

“Tindakan kepada penyeludup ini juga kurang walaupun rampasan dibuat, ada kalanya tidak dapat memberikan hukuman berat kepada penyeludup.

“Kebanyakkan mereka jika pergi ke mahkamah, terlepas dan sebagainya, jadi mereka akan buat balik (seludup dan bekalkan dadah semula),” katanya.

Tegas beliau, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang baru dilancarkan kerajaan harus dikembangkan dengan kadar segera supaya kawalan di pintu sempadan dapat diperkasakan dengan lebih profesional.

Katanya, usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah bukan sahaja terletak kepada kerajaan atau agensi di bawahnya, tetapi ibu bapa dan masyarakat setempat juga harus mengawal dan melaporkan sebarang aktiviti berkaitan dadah kepada pihak berkuasa.

Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah rekod kes penyalahgunaan dadah tertinggi – Saifuddin Nasution

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top