Tehran: Iran mengancam untuk menghentikan perlawanan Piala Dunia 2026 sekiranya terdapat bendera tidak rasmi atau laungan yang disifatkan menyasarkan skuad kebangsaan negara itu ketika perlawanan berlangsung.
Menurut laporan media Iran yang memetik Menteri Sukan negara itu, Ahmad Donyamali, perkara berkenaan sudah dimaklumkan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjelang kempen Piala Dunia yang bermula minggu ini.
“Kami sudah memaklumkan kepada FIFA bahawa jika terdapat bendera tidak rasmi dibawa masuk atau slogan menentang pasukan kebangsaan dilaungkan di stadium ketika Iran beraksi, pengurus pasukan akan bertanggungjawab menghentikan perlawanan,” katanya.
Iran akan memulakan saingan Kumpulan G menentang New Zealand di Los Angeles pada 16 Jun sebelum berdepan Belgium pada 22 Jun dan Mesir di Seattle lima hari kemudian.
Menurut Donyamali, pihaknya menerima jaminan bahawa tiada insiden yang boleh mengganggu perlawanan menentang Mesir.
Kenyataan itu hadir selepas pasukan kebangsaan Iran terus menerima kritikan daripada sebahagian pihak yang mempersoalkan penyertaan mereka di pentas Piala Dunia.
Pada April lalu, sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun di luar Kongres FIFA di Vancouver bagi menggesa Iran disingkirkan daripada kejohanan itu dengan mendakwa pasukan berkenaan mewakili kepentingan kerajaan dan bukannya rakyat Iran.
Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Bolasepak Iran sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan berhubung pengagihan tiket apabila mendakwa kuota tiket penyokong negara itu ditarik balik beberapa hari sebelum kejohanan bermula.
Situasi berkenaan menyebabkan ramai penyokong yang sudah merancang perjalanan ke Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada berisiko tidak dapat menyaksikan aksi pasukan mereka secara langsung.
Skuad Iran yang kini menjalani latihan di Tijuana, Mexico bagaimanapun dibenarkan memasuki AS sehari sebelum setiap perlawanan berlangsung.
Piala Dunia 2026 yang dianjurkan bersama oleh AS, Mexico dan Kanada dijangka menjadi antara kejohanan paling mencabar dari sudut pengurusan dan keselamatan berikutan beberapa isu geopolitik yang turut membayangi temasya berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




