Pertahan mandat negeri bukan khianat Kerajaan Perpaduan – UMNO

Pertahan mandat negeri bukan khianat Kerajaan Perpaduan – UMNO

fahmy.azril@bh.com.my

Kuala Lumpur: Keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan mandat negeri bukan pengkhianatan kepada Kerajaan Persekutuan sebagaimana tuduhan segelintir pihak.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata itu antara hasil mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang diputuskan malam ini.

Beliau menjelaskan bahawa ia adalah amalan demokrasi yang sah, matang dan berperlembagaan untuk menyerahkan sepenuhnya mandat kepada rakyat.

Selain itu, katanya mesyuarat malam ini juga memutuskan UMNO berhak menentukan pendirian dan hala tuju parti menjelang mana-mana pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Untuk itu, katanya hubungan BN dalam Kerajaan Perpaduan tidak akan terjejas sehingga pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dilangsungkan.

“UMNO akan terus mendokong Kerajaan Perpaduan Malaysia yang terbentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 sehingga pilihan raya,” katanya pada sidang media malam ini.

Mengenai situasi politik di Johor, Asyraf berkata kerajaan negeri itu dibentuk sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat, tanpa melibatkan parti daripada Pakatan Harapan (PH).

“Justeru, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia di peringkat Persekutuan tidak mengikat mana-mana kerajaan negeri.

“UMNO berhak menentukan pendirian dan hala tuju parti apabila menjelang mana-mana pilihan raya, termasuklah PRN Johor dan Negeri Sembilan yang bakal ditentukan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” jelasnya.

Dalam konteks kerjasama dengan parti lain, beliau menegaskan UMNO menyatakan keterbukaan sekiranya ada pihak mahu berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau berkata UMNO menetapkan syarat kerjasama dengan parti terbabit.

“UMNO terbuka kepada apa jua bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak demi kestabilan politik negara dan kesejahteraan rakyat.

“Apa jua bentuk kerjasama mesti dilandaskan kepada prinsip keikhlasan dan kepercayaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top