najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selebriti terkenal, Neelofa dan penyanyi, Marsha Milan antara 13 wanita luar biasa dipilih sebagai penerima Anugerah Ibu Zain 2025.
Dalam majlis itu, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor diberikan Anugerah Wanita Inspirasi, manakala Marsha pula menerima Anugerah Wanita Kesenian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi hadir menyampaikan anugerah berprestij itu pada malam kemuncak Festival The Muslim World Women’s Summit: Voice of H.E.R dan Anugerah Ibu Zain 2025 yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, di sini, malam tadi.
Turut hadir pada acara itu adalah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Selain Neelofa dan Marsha, penerima lain yang memenangi Anugerah Ibu Zain 2025 termasuk legenda skuasy negara, Datuk Nicol David yang menerima anugerah tertinggi iaitu Anugerah Voices of H.E.R atas pencapaiannya dalam sukan dan pengaruhnya di peringkat global.
Penerima lain termasuk atlet terjun negara, Datuk Pandelela Rinong (Anugerah Wanita Kesukanan), pempengaruh dan usahawan Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin (Anugerah Wanita), Chaya Sulaiman (Anugerah Kesukarelawan), Dr Nur Haliza Abdul Wahab (Anugerah Wanita Teknologi), Shamsiah Abdul Rahman (Anugerah Ibu Mithali) dan Dr Rafidah Abdullah (Anugerah Wanita Kesihatan).
Selain itu, kategori Anugerah Wanita Istimewa diberikan kepada Siow Lee Chan, manakala Che Siti Noraini Nuawi menerima Anugerah Wanita Keusahawanan.
Bagi kategori Anugerah Wanita Perundangan diberikan kepada Datuk Dr Hartini Zainuddin dan Anugerah Wanita Pendidikan dimenangi Tina Tajuddin.
Anugerah Ibu Zain 2025 adalah acara kemuncak kepada festival terbabit yang memberikan penghormatan kepada wanita luar biasa yang memberikan sumbangan besar dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, keusahawanan, kesihatan, perundangan, sukan, kesukarelawanan dan lain-lain.
Pemilihan nama Anugerah Ibu Zain 2025 dibuat bersempena dengan nama seorang pelopor pendidikan dan hak wanita dikenali Tan Sri Zainon Munshi Sulaiman (Ibu Zain) sekali gus anugerah itu melambangkan ketabahan, kepimpinan dan kecemerlangan wanita Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




