PJJ Dengan Suami, Elizabeth Tan Hadapi Cabaran Dapatkan Zuriat

PJJ Dengan Suami, Elizabeth Tan Hadapi Cabaran Dapatkan Zuriat

Pelakon dan penyanyi Elizabeth Tan mendedahkan bahawa dia dan suaminya, Dr. Siew Jim Ding, kini menjalani hubungan jarak jauh (PJJ) kerana tuntutan kerja masing-masing.

Menurut Elizabeth atau nama penuhnya Elizabeth Tan Su Mei, suaminya yang merupakan seorang doktor pelatih telah ditempatkan bertugas di Tapah, Perak sejak awal tahun ini.

“Suami saya kini bekerja di Tapah, jadi kami perlu menjalani hubungan jarak jauh. Biasanya dalam sebulan, dia akan pulang ke rumah atau saya yang akan pergi melawatnya di sana.

“Dia baru sahaja mula bertugas di sana pada Januari lalu dan masih ada kira-kira dua tahun lagi sebelum kami dapat tinggal bersama semula,” katanya.

Mengulas tentang cabaran yang dihadapi, selebriti berusia 32 tahun itu mengakui bahawa perpisahan jarak jauh ini sedikit sebanyak menyukarkan usaha mereka untuk mendapatkan zuriat.

“Keadaan ini sebenarnya agak mencabar kerana secara tiba-tiba kami terpaksa berjauhan,” katanya.

Elizabeth berkongsi perkara itu ketika berada di lokasi penggambaran filem Wantugo di SnoWalk I-City, Shah Alam pada Rabu.

Namun begitu, pemenang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-33 ini tetap berfikiran positif. Baginya, jarak yang memisahkan mereka memberikan peluang untuk lebih menghargai antara satu sama lain.

“Saya tidak merasakan ia terlalu sukar kerana kami menikmati hubungan ini dengan memberi ruang untuk saling merindui.

“Kadang-kadang, apabila selalu bersama, kita mungkin kurang menghargai pasangan. Jadi sekarang, setiap kali berjumpa, kami lebih menghargai detik-detik itu,” katanya lagi.

Bagaimanapun, dia mengakui bahawa usaha untuk menimang cahaya mata sedikit mencabar kerana mereka tidak tinggal di negeri yang sama.

Sekadar info, Elizabeth dan Siew Jim telah mendirikan rumah tangga pada 21 Mac 2021, namun masih belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata.

Elizabeth juga sebelum ini pernah berkongsi pengalaman mengalami keguguran sebanyak dua kali pada tahun lalu.

Artikel Berkaitan: Masih Usaha Timang Anak Secara Semula Jadi, Elizabeth Tan Beri Tempoh 4 Bulan Lagi Sebelum Jalani Rawatan IVF

Scroll to Top