Petronas rekod untung bersih RM55.1 bilion

Petronas rekod untung bersih RM55.1 bilion

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Petronas merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM55.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, merosot 32 peratus berbanding RM80.7 bilion tahun sebelumnya, sejajar dengan purata realisasi harga yang lebih rendah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, bagi tahun kewangan 2024, Petronas mencatatkan penurunan hasil berikutan harga purata direalisasikan yang lebih rendah.

Katanya, pendapatan syarikat susut tujuh peratus kepada RM320 bilion berbanding tahun sebelumnya disebabkan harga purata yang lebih rendah, namun diimbangi oleh peningkatan jumlah jualan.

“Manakala perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) turut berkurangan kepada RM114.1 bilion, sejajar dengan penyusutan keuntungan.

“Prestasi kewangan Petronas pada 2024 kekal kukuh di sebalik ketidaktentuan pasaran dan tekanan peraturan yang semakin meningkat akibat perubahan geopolitik global,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan kewangan 2024 Kumpulan Petronas di sini, hari ini.

Tengku Muhammad berkata, hasil keputusan kewangan itu ini didorong oleh komitmen berterusan kumpulan terhadap pengurusan kewangan yang berhemat serta kepelbagaian portfolio.

Menurutnya, dalam menghadapi dinamik pasaran yang terus berkembang pada 2025, Petronas sudah memulakan strategi transformasi bagi memperkukuh keupayaannya dalam memberikan nilai kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan, membekalkan tenaga kepada pelanggan serta memberi impak positif kepada komuniti.

“Melalui pengurusan modal yang disiplin, rasionalisasi kos, kerjasama yang diperkukuh, model perkongsian baharu, serta kecemerlangan operasi dan komersial, Petronas akan menjadi lebih berfokus kepada nilai dan kompetitif di peringkat global dan lebih tangkas dalam menangani perubahan pasaran.

“Sebagai syarikat minyak negara, Petronas terus komited untuk menyokong pertumbuhan ekonomi serta keselamatan tenaga Malaysia dan transformasi ini dijangka memperkukuhkan lagi kedudukan Petronas dalam memenuhi mandatnya di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974,” katanya.

Mengenai prospek tahun ini, beliau berkata, sepanjang 2024, industri tenaga dipengaruhi oleh ketidakstabilan geopolitik, perubahan dasar serta ketidaktentuan ekonomi yang memberi kesan besar kepada harga minyak dan gas (O&G).

“Menjelang 2025, Petronas berada dalam kedudukan strategik untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat sambil memastikan keselamatan bekalan.

“Kumpulan juga akan terus memanfaatkan aset sedia ada, mengamalkan pengurusan kewangan berhemat serta meningkatkan produktiviti dan kecekapan bagi mengekalkan prestasi tinggi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top