mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Tiga lelaki dan seorang wanita ditahan selepas menghalang pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sedang bertugas semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang wanita bertugas sebagai pegawai penguat kuasa DBKL, jam 5.59 petang.
Menurutnya, pegawai terbabit memaklumkan ketika bertugas di Jalan Benteng, kira-kira 11.30 pagi, dia mengalihkan food truck yang menghalang lorong.
“Tindakan itu menyebabkan wanita pemilik food truck menghalang tindakan pengadu dan berlaku pergelutan di antaranya dengan wanita terbabit.
“Pengadu mengalami kecederaan dan luka akibat digigit. Wanita terbabit berjaya ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Sulizmie berkata, pada 10.08 malam semalam, polis menerima satu lagi laporan daripada pegawai penguat kuasa DBKL ketika membuat rondaan penjaja di sekitar Masjid India.
Katanya, ia membabitkan kekecohan membabitkan petugas DBKL dengan beberapa orang penjaja di hadapan suatu premis perniagaan di Masjid India.
“Ketika melakukan penyuraian kekecohan, mereka dirempuh secara kasar dan menyebabkan pengadu jatuh.
“Susulan itu, tiga lelaki tempatan berusia 15 sehingga 39 tahun ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, salah seorang daripada mereka mempunyai satu rekod lampau membabitkan kesalahan dadah.
“Kedua-dua insiden menghalang tugas penjawat awam ini disiasat mengikut Seksyen 186 kanun keseksaan.
“Reman untuk kes pertama membabitkan seorang wanita tempatan berusia 30 tahun dibenarkan selama dua hari bermula hari ini sehingga esok.
“Sementara tangkapan tiga lelaki direman tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu ini,” katanya.
Harian Metro hari ini melaporkan dua anggota penguat kuasa DBKL diserang penjaja tidak berlesen di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, dalam dua kejadian berasingan semalam.
DBKL dalam kenyataan berkata dua laporan polis dibuat berhubung kejadian berkenaan kerana mendatangkan kecederaan kepada anggota penguat kuasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




