Ketua Balai Polis Bukit Jalil Mengaku Tak Bersalah Mencuri

Ketua Balai Polis Bukit Jalil Mengaku Tak Bersalah Mencuri

Inspektor Azlan Sudin, Ketua Balai Polis Bukit Jalil, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan mencuri RM300,000 dan sebuah beg jenama Prada. Insiden itu dikatakan berlaku di sebuah kondominium di Bukit Jalil pada 21 Februari lalu.

Tertuduh yang berusia 45 tahun didakwa melakukan jenayah tersebut bersama seorang lagi individu yang masih bebas. Kes ini dikendalikan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Ketua balai polis dibenarkan ikat jmain…

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes dijadualkan pada 21 Mei. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa, manakala peguam Huang Yee Ching mewakili tertuduh.

Selain kes kecurian, Azlan turut menghadapi satu lagi tuduhan kerana gagal menangkap seorang lelaki yang terbabit dengan kesalahan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. Kesalahan ini didakwa berlaku di lobi Balai Polis Bukit Jalil pada hari yang sama.

Peguam wakili tertuduh mohon jaminan minimum…

Untuk tuduhan ini, Azlan didakwa mengikut Seksyen 221(c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda jika didapati bersalah. Majistret Noorelynna Hanim Halim membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mei sebagai tarikh sebutan semula.

Peguam tertuduh, Huang Yee Ching, memohon jaminan minimum dengan alasan bahawa Azlan telah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 25 tahun tanpa sebarang rekod aduan. Tambahnya, tertuduh juga telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan.

#ApaKataOhmedia

Kes ini memang mencetuskan tanda tanya dalam kalangan rakyat. Apapun, kita harap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dengan telus dan adil. Jika benar bersalah, tindakan tegas perlu diambil supaya integriti PDRM tidak tercalar.


Scroll to Top