Pereira idam lakar sejarah, Ankalaev mahu rampas takhta

Pereira idam lakar sejarah, Ankalaev mahu rampas takhta

Las Vegas: Alex Pereira bakal mempertahankan gelaran juara light heavyweight UFC buat kali keempat dalam tempoh kurang setahun apabila turun berdepan Magomed Ankalaev dalam acara utama UFC 313 hujung minggu ini.

Pereira (12-2, 10 KO) menutup tahun 2024 dengan kemenangan keempat berturut-turut menerusi KO/TKO, menewaskan Khalil Rountree Jr pada UFC 307, Oktober lalu.

Sebelum itu, bintang Brazil itu turut menumbangkan Jiri Prochazka dan Jamahal Hill, dengan tendangan pusingannya ke arah Prochazka pada UFC 303 menjadi antara ‘penyudah’ paling ikonik dalam sejarah UFC.

Jika menang ke atas Ankalaev, Pereira bakal menjadi petarung kedua terpantas dalam sejarah UFC mencapai empat kali pertahan gelaran serta berpeluang mengungguli ranking pound-for-pound.

“Saya tidak fikir mengenai rekod atau status, saya akan bertarung seperti ini adalah penampilan sulung saya,” kata Pereira.

Namun, cabaran terbesar menanti juara bertahan itu apabila Ankalaev (20-1-1, 11 KO) bakal menjadi lawannya yang paling sukar.

Pakar sambo dari Dagestan itu tidak tewas dalam 13 pertarungan terakhir dan kembali dalam perebutan gelaran selepas menewaskan Johnny Walker menerusi KO di UFC Vegas 84 serta menundukkan Aleksandar Rakic di UFC 308.

“Saya tahu semua orang menentang saya, tapi Sabtu ini ‘Chama time’ akan berakhir,” kata Ankalaev di sidang media pra pertarungan.

Mengikut ramalan pertaruhan di Las Vegas, Pereira berada sedikit di hadapan dengan -115 berbanding Ankalaev (-110).

Ini kali pertama sejak dua tahun lalu ada petarung yang diberi peluang hampir setara dengan Pereira.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top