Paris: Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique memuji impak besar yang dibawa oleh Habib Beye di Stade Rennais, sambil menjangkakan cabaran sengit apabila pendahulu Ligue 1 itu berkunjung ke Roazhon Park, esok.
Rennes tampil dengan aksi cemerlang sejak kendalian Beye, meraih empat kemenangan daripada lima perlawanan terakhir liga tanpa bolos.
Di bawah sentuhan pengendali baharu itu, Rennes berjaya keluar dari zon penyingkiran dan kini menduduki tangga ke-11 selepas menggantikan Jorge Sampaoli pada Januari lalu.
“Jelas mereka berada dalam prestasi yang sangat baik sejak perubahan jurulatih. Mereka menang empat kali dan hanya kalah sekali. Mereka kini dalam kedudukan lebih baik dalam carta liga,” kata Enrique.
“Bukan mudah untuk membentuk hubungan pantas dengan pemain, tetapi dalam kes ini, mereka melakukan kerja yang sangat baik. Rennes pasukan yang sukar untuk dihadapi, lebih-lebih lagi di tempat sendiri. Saya tiada keraguan bahawa mereka sangat bermotivasi untuk menewaskan kami.”
Perlawanan ini turut menyaksikan kepulangan Desire Doue ke Rennes buat kali pertama sejak berpindah ke PSG dengan yuran perpindahan yang dilaporkan bernilai €50 juta (RM233.8 juta) pada Ogos lalu.
Pemain sayap berusia 19 tahun itu, yang juga produk akademi Rennes, kini dianggap antara bakat muda paling menyerlah dalam bola sepak Perancis.
Setakat ini, Doue sudah membuat 36 penampilan bersama PSG dalam semua kejohanan, dengan tujuh gol serta 10 bantuan jaringan.
Mengulas perkembangan pemain itu, Luis Enrique berkata: “Tiada laluan yang sama untuk setiap pemain. Ada yang lebih cepat menyesuaikan diri berbanding yang lain. Doue bermain dengan baik musim lalu di Rennes dalam pelbagai posisi, dan dia meneruskan prestasi sama di sini.”
PSG kini memiliki kelebihan 13 mata di puncak Ligue 1 dan bakal berdepan Liverpool dalam aksi kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara pada Rabu ini, selepas tewas 0-1 di Parc des Princes walaupun mendominasi perlawanan.
Bagaimanapun, Luis Enrique enggan pasukannya terleka dengan aksi penting di Anfield itu, sebaliknya mahu mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan menentang Rennes terlebih dahulu.
“Kami hanya ada dua hari untuk bersedia. Ini bukan tempoh latihan, tetapi pemulihan. Apa yang saya fokuskan sekarang hanyalah perlawanan menentang Rennes,” tegasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




